Jerman Cetus Kempen Ajak Vaksin, Susun Kambing Biri-Biri Jadi Bentuk Picagari

Seorang juru kempen Jerman berharap daya tarikan emosi menggunakan 700 ekor biri-biri berbentuk picagari gergasi berupaya untuk menarik perhatian orang ramai bagi mengambil suntikan COVID-19.

Jerman mempunyai kadar vaksinasi yang lebih rendah berbanding dengan kebanyakan negara Eropah Barat lain.

“Kambing biri-biri popular dalam kalangan orang ramai dan membawa konotasi emosi yang positif. Jadi mungkin ia boleh menjangkau ramai orang secara emosi apabila logik dan penaakulan saintifik tidak berfungsi,” kata penganjur kempen tersebut, Hanspeter Etzold.

Etzold telah bekerjasama dengan pengembala, syarikat dan haiwan untuk menjalankan acara pembinaan pasukan di bandar Schneverdingen di utara Jerman.

Haiwan itu, milik gembala Steffen Schmidt dan isterinya, mengikuti kepingan roti yang dihamparkan di atas tanah untuk membentuk bentuk picagari sepanjang 100 meter ketika ia dirakamkan menggunakan dron.

Menurut Institut Robert Koch Jerman untuk penyakit berjangkit, 71.3% penduduk Jerman telah menerima dua dos vaksin COVID-19 dan 39.3% telah menerima suntikan penggalak pada hari Selasa.

Ini meletakkan Jerman di kalangan negara Eropah Barat dengan kadar vaksinasi terendah, menurut data yang diperoleh daripada Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.

 

Sumber: [1]