Kerana ingin menjimatkan masa daripada terus-menerus menerangkan mengenai kebimbangan berkenaan kesan sampingan menerima vaksin kepada para pesakit, seorang doktor di Jerman membuka sebuah pusat vaksinasi sementara, terletak di pasar raya.
Menurut Dr Nicola Buhlinger-Gopfarth, hasil cetusan idea yang bersifat efisien dari segi waktu itu adalah berikutan pasukannya yang mendapati proses untuk menerangkan mengenai kesan yang akan dialami selepas vaksinasi kepada satu per satu pesakit memakan masa.
Kemudahan tersebut juga bertujuan untuk membolehkan mereka yang menerima vaksin terus hadir ke tempat tersebut tanpa perlu bersusah-payah mengatur janji temu terlebih dahulu selain sudah pun tahu mengetahui risiko kesan sampingan dengan lebih awal.
Langkah tersebut juga disambut baik oleh orang ramai di negara tersebut.
Terang Dr Nicola, “Kami terharu dengan maklum balas; inisiatif ini adalah kejayaan besar yang membuat saya sangat gembira. Saya gembira untuk semua orang yang boleh meninggalkan tempat letak kereta ini dengan perlindungan.
“Semua orang yang datang ke sini hari ini tahu mengenai risikonya. AstraZeneca adalah vaksin selamat yang diluluskan terutama untuk orang tua. EMA (pengawal selia ubat Kesatuan Eropah) juga telah bersetuju ia selamat untuk orang muda; ia diluluskan dan telah diperiksa oleh EU dan saya fikir ia diberi nama buruk tanpa sebab,” ujarnya.
Lanjut Dr Nicola lagi, pada awalnya, terdapat barisan panjang di parkir kereta dan bangunan pasar raya yang merupakan lokasi pemberian vaksin itu berlangsung.
Biarpun begitu, pasukan mereka tetap berjaya menghabiskan 800 dos suntikan vaksin tersebut dengan lancar.
Terdahulu, Jerman menghadkan penggunaan vaksin AstraZeneca kepada individu berusia lebih 60 tahun dengan beberapa pengecualian buat golongan muda.
Sumber: [1]