Jepun Akan Kenakan Cas Terhadap Straw Plastik Bermula Tahun Hadapan

Mulai April 2022, Jepun bakal mengambil langkah dengan mengenakan ‘cukai plastik’ bagi membendung peningkatan penggunaan plastik dalam kalangan penduduk di negara itu.

jepun akan kenakan cas terhadap straw plastik bermula tahun hadapan

Ia bermaksud, segala peralatan dan straw plastik tidak lagi akan diberi secara percuma.

Undang-undang baru yang disahkan Dewan Negara Jepun pada minggu lalu itu bertujuan untuk mempromosikan penggunaan kertas atau biodegrasi alternatif dalam kalangan peruncit, restoran dan hotel.

Mereka yang didapati tidak mematuhi undang-undang tersebut boleh dikenakan denda hingga 500,000 yen yang bersamaan dengan RM18,783.

Bagaimanapun, biarpun pelanggan akan dikenakan bayaran untuk peralatan plastik atau straw, pilihan yang tersedia dalam bentuk kertas atau kayu boleh diedarkan secara percuma.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Alam Sekitar negara tersebut berharap langkah itu dapat meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dalam kalangan peniaga dan pengguna.

Sebagai tambahan, caj wajib pada beg plastik yang telah pun dikenakan bermula Julai tahun lalu dikatakan berjaya mengubah tingkah laku dalam kalangan pengguna yang mana tujuh daripada 10 pembeli dilaporkan menolak beg plastik di kedai serbaneka.

Terdahulu, sebelum langkah tersebut dilaksanakan, difahamkan hanya dua daripada 10 pengguna yang mengikuti insiatif tersebut.

Peruncit dibenarkan untuk mengenakan caj mereka tersendiri yang kebiasaannya dalam lingkungan antara tiga hingga 10 yen (iaitu kira-kira 10 hingga 40 sen) bagi setiap plastik.

Menurut Institut Pengurusan Sisa Plastik, Jepun menghasilkan hampir 10 juta tan plastik setiap tahun yang mana 100,000 tan daripada jumlah tersebut merupakan sudu plastik dan straw.

 

Sumber: [1]