Media sosial popular dunia, Instagram dilaporkan bakal mengetatkan lagi polisi mereka.
Polisi baru yang diumumkan pada Selasa itu adalah berkenaan sekatan komunikasi antara remaja dan orang dewasa yang tidak mengikuti masing-masing di platform tersebut.
Difahamkan bahawa Instagram akan menggunakan teknologi pembelajaran mesin untuk mengenal pasti usia penggunanya dengan lebih baik dan menunjukkan arahan keselamatan kepada kanak-kanak untuk melindungi mereka daripada menjadi sasaran gangguan dan antun seksual (grooming).
Menerusi kenyataan media Instagram, kata mereka, “Untuk melindungi remaja daripada berhubung dengan orang dewasa yang mencurigakan, kami telah memperkenalkan ciri terbaru yang menyekat orang dewasa daripada mengirim mesej kepada pengguna bawah 18 tahun yang tidak mengikuti mereka di Instagram.”
Aplikasi terbabit juga akan memberi amaran kepada pengguna remaja sekiranya terdapat sebarang perlakuan daripada orang dewasa yang menghubungi mereka di platform tersebut, dilihat mencurigakan.
Antara perlakuan yang dimaksudkan termasuklah menghantar sejumlah besar permintaan rakan atau mesej kepada mereka yang berumur bawah 18 tahun.
Dalam pada itu, aplikasi yang dikendalikan Facebook itu turut merancang untuk memperkenalkan lebih banyak ciri lagi dalam masa akan datang untuk menjadikan platform tersebut lebih selamat digunakan golongan remaja.
Antara ciri yang bakal diperkenalkan lagi termasuklah menyembunyikan akaun milik pengguna remaja dari pilihan suggested users.
Sumber: Bernama