Individu Positif RTK-AG Tidak Perlu Lakukan PCR

Individu yang disahkan positif Covid-19 melalui kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) tidak perlu membuat pengesahan menerusi kaedah Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

individu positif rtk-ag tidak perlu lakukan pcr

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, mereka sebaliknya boleh terus melakukan kuarantin kendiri sebaik saja disahkan positif melalui RTK-Ag.

“Apabila beralih ke fasa endemik, kita perlu kurangkan kebergantungan kepada ujian RT-PCR dan lebihkan RTK-Ag,” katanya.

Tambahnya, pakar kesihatan berpendapat bahawa ujian terbabit sudah memadai untuk mengesan kes positif yang mempunyai tahap kebolehjangkitan tinggi.

“Ia berbanding RT-PCR yang sangat sensitif sehingga individu telah sembuh daripada jangkitan masih dikesan positif apabila membuat ujian menerusi kaedah tersebut,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam situasi yang mana varian Omicron lebih cepat merebak, ujian RTK-Ag adalah lebih efektif kerana tidak perlu menunggu untuk sesuatu masa lama bagi mengetahui keputusan.

“Adalah lebih baik 1,000 orang buat test RTK-Ag daripada 10 orang buat RT-PCR walaupun lebih sensitif.”

Namun, beliau menambah RT-PCR masih boleh digunakan untuk keperluan perjalanan ke luar negara ataupun kembali ke tanah air.


Sumber: [1]