Individu Palsukan Keputusan Saringan COVID-19 Di MySejahtera Akan Dikenakan Tindakan Undang-Undang

Individu yang didapati memalsukan keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen mereka dalam aplikasi MySejahtera akan diambil tindakan undang-undang.

individu palsukan keputusan saringan covid-19 di mysejahtera akan dikenakan tindakan undang-undang

Tegas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, perbuatan melaporkan keputusan saringan COVID-19 palsu adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, majikan boleh melaporkan kepada KKM sekiranya mendapati ada pekerja yang memalsukan keputusan COVID-19.

“Sudah tentu kalau majikan nak semak, mungkin kalau dia (pekerja) nak tipu, nasib dia tak baik majikan suruh buat RTK profesional, dia ‘kantoi’. Kita boleh ambil tindakan undang-undang. Jadi jangan sampai kita terpaksa ambil tindakan undang-undang kerana salah lapor dalam MySejahtera yang menjadi kesalahan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kerajaan membenarkan masyarakat melaporkan ujian kendiri COVID-19 dalam MySejahtera tanpa memerlukan mereka membuat saringan profesional sebagai persediaan memasuki fasa peralihan ke endemik.

“Bila kita masuk fasa peralihan (endemik), kita kena banyak bergantung kepada solidariti komuniti dan kebertanggungjawaban individu. Ini takkan semua benda kerajaan nak periksa, kuat kuasa dan denda.

“Jadi saya merayu kepada rakyat Malaysia bila kita dah bagi tanggungjawab kepada anda untuk buat ujian kendiri mestilah jujur, jangan semata-mata nak ponteng kerja pergi melaporkan keputusan positif yang palsu,” kata beliau.


Sumber: [1]