Hilang Jutaan Ringgit, Taeyeon Girls' Generation Jadi Mangsa Penipuan Skandal Hartanah

Anggota Girls’ Generation, Taeyeon dilaporkan menjadi salah seorang daripada mangsa yang terlibat dalam skandal penipuan hartanah bernilai RM881,356,360, yang mana penyanyi itu dikatakan kehilangan RM3,884,258 daripada wangnya sendiri.

hilang jutaan ringgit, taeyeon girls' generation jadi mangsa penipuan skandal hartanah

Menurut laporan eksklusif daripada Tenasia, Taeyeon dikatakan membeli tanah di Daerah Hanam, Wilayah Gyeonggi pada 2019 daripada kumpulan hartanah besar dengan harga RM3,884,258.

Bagaimanapun, tanah yang dibelinya terletak di kawasan pergunungan yang ditetapkan sebagai tidak sesuai untuk pembangunan melainkan untuk kegunaan tentera atau bangunan awam.

Berdasarkan laporan sama, bawah Akta Pemuliharaan Hutan, tanah yang dimaksudkan itu hampir mustahil untuk dibangunkan kerana ia adalah kawasan yang ditetapkan untuk dipelihara.

Syarikat hartanah tersebut difahamkan membeli tanah itu pada harga RM1,412,081 yang mana ia dijual kepada kepada Taeyeon tiga bulan kemudian dengan harga RM3,884,258.

Pihak polis mempercayai kumpulan hartanah itu telah membahagikan tanah pergunungan kepada bahagian yang lebih kecil dan menjual lot kepada lebih 3,000 individu, selain memperdaya mereka dengan mengatakan mereka mempunyai maklumat orang dalam pemaju berkenaan kawasan baru seterusnya yang akan dibangunkan semula.

Lebih mengeruhkan keadaan, syarikat sama juga mengiklankan hartanah itu di televisyen yang mana seorang pelawak terkenal merupakan salah seorang jurujual mereka.

Susulan daripada skandal itu, SM Entertainment enggan mengulas mengenai situasi tersebut dengan menyatakan ia adalah kehidupan peribadi dan aset peribadi Taeyeon.

Justeru itu, mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

 

Sumber: [1]