Satu kajian yang dijalankan di Hong Kong mendedahkan asal usul penularan varian COVID-19 Delta yang berlaku di bandar itu pada Januari lalu berpunca daripada hamster-hamster yang diimport.
Kajian itu mendedahkan hamster yang diimport dari Syria menjadi punca penularan varian Delta dua bulan lalu.
Penyelidik dari Universiti Hong Kong (HKU) bersama Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan mendapati lebih separuh daripada 28 ekor hamster Syria yang diimport menunjukan tanda-tanda jangkitan COVID-19. Ujian penjujukan genom juga mendedahkan haiwan itu dijangkiti pada Oktober 2021.
“Penemuan ini menunjukkan bahawa SARs-Cov-2 mungkin menular ke haiwan lain tanpa disedari. Ia menyediakan ruang untuk virus itu menyesuaikan diri dan kembali kepada manusia,’’ kata laporan itu.
Ekoran itu, para penyelidik kini meminta lebih banyak kawalan ke atas haiwan import selepas mendapati hamster boleh dijangkiti dan menyebarkan COVID-19.
Januari lalu, sebanyak 2,000 ekor hamster import telah dimusnahkan selepas pihak berkuasa Hong Kong percaya wujud jangkitan COVID-19 daripada haiwan kepada manusia.
Sumber: [1]