Drama siri popular Amerika Syarikat terbitan Warner Bros, Gossip Girl yang memaparkan kisah remaja dari keluarga sosialit di Manhattan telah diadaptasi dalam versi Indonesia dengan menggunakan ‘Gossip Girl Indonesia’, bakal menemui penonton Malaysia buat pertama kali di Astro.
Drama bersiri 9 episod itu telah pun memulakan tayangannya pada 7 Februari lalu dan boleh ditonton di On Demand serta Astro Citra, saluran 108 setiap hari Isnin jam 9 malam.
Menariknya, versi Indonesia ini turut diselitkan dengan nilai dan budaya Nusantara, di samping dipadatkan lagi dengan elemen-elemen yang relevan untuk tontonan masa kini seperti gaya fesyen serta teknologi, yang mana versi Hollywood memaparkan penggunaan blog tetapi versi ini menggantikannya dengan platform Instagram.
Gossip Girl Indonesia melibat gabungan bakat-bakat kreatif yang sering memberi sentuhan luar biasa pada karya-karya hebat. Menariknya, setiap 3 episod Gossip Girl Indonesia diarahkan oleh sutradara dan penulis berbeza. Antaranya pengarah filem ‘Berbagi Suami’ dan ‘Arisan!’, iaitu Nia Dinata yang bertindak sebagai showrunner, sutradara (episod 1, 2 dan 3) serta terlibat dalam penulisan skrip untuk semua episod. Lucky Kuswandi juga merupakan penulis skrip untuk episod 1, 2 dan 3. Bagi episod 4, 5 dan 6 adalah di bawah arahan Pritagita Arianegara dan skrip oleh Melissa Karim dan Nia Dinata. Manakala episod 7, 8 dan 9 oleh pengarah Andri Cung dan skrip oleh Andri Cung sendiri bersama Nia Dinata.
Tidak lengkap Gossip Girl tanpa suara latar, jadi bagi versi ini pelakon dan penyanyi Ayushita Nugraha mengisi peranan ‘voice over’ dalam Gossip Girl Indonesia. Sementara itu, watak-watak utama dibintangi oleh pelakon muda berbakat besar, seperti Amanda Rawles (yang sebelumnya membintangi filem Jailangkung) sebagai Serena Darsono, Baskara Mahendra (pelakon filem The Way I Love You) sebagai Denny Hakim, Jihane Almira (Ayat-Ayat Cinta 2) sebagai Blair Hadiningrat, Tatyana Akman (Ini Kisah Tiga Dara) sebagai Vanessa, Arya Vasco (Death Whisper) sebagai Nathaniel Siregar, Jerome Kurnia (Photocopier) sebagai Chicco Salim, Rayssa Dynta sebagai Jenny Hakim.
Berbeza dengan siri asal yang menormalkan isu percubaan gangguan seksual menerusi watak Chuck Bass terhadap watak Serena dan Jenny, tetapi versi adaptasi ini memberi fokus lebih mendalam tentang mental isu serta kesan kepada mangsa gangguan seksual. Selain itu, babak Sambutan Hari Kesyukuran atau 'Thanksgiving' di versi asal, telah digantikan dengan acara berbuka puasa. Secara keseluruhan jalan cerita dan emosi cukup relevan dengan kehidupan sehari-hari.
Gossip Girl Indonesia membawakan cerita tentang remaja dari keluarga golongan sosialit, Serena Darsono yang bersahabat baik dengan Denny Hakim, Jenny Hakim, Blair Hadiningrat, Vanessa, Nathaniel Siregar, dan Chicco Salim. Serena merupakan gadis popular di sekolahnya dan telah menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sejak itu, sahabat baik Serena iaitu Blair telah mengambil tempat Serena. Apabila Serena kembali, kedua-dua mereka dilihat baik, namun hakikatnya tidak dan tercetus persengketaan. Dalam pada itu, gerak-geri mereka telah diawasi oleh akaun Instagram terkenal @GossipGirl.Indo.
Strim drama siri Gossip Girl Indonesia di On Demand atau Astro GO. Penonton juga boleh menonton di Astro Citra, saluran 108 setiap hari Isnin, jam 9 malam. Anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang drama ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.