Gitaris Kumpulan BPR, Haron Amat Meninggal Dunia

Gitaris kedua kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Haron Amat meninggal dunia akibat kanser darah.

gitaris kumpulan bpr, haron amat meninggal dunia

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 9 pagi semalam di Hospital Ampang.

Jelas anak perempuannya, Hana Nafisah Haron, kesihatan arwah bapanya itu mula merosot sejak kebelakangan ini sehingga terpaksa dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital terbabit, pada 3 Mac lalu.

“Arwah kerap demam sepanjang sebulan ini. Malah, arwah mengalami ruam pada bahagian badan, tetapi hanya diubat dengan menyapu krim kulit.

“Doktor mengesahkan arwah menghidap penyakit kanser dan dimasukkan ke ICU pada 3 Mac lalu.

“Selepas keluar hospital, arwah melakukan proses kimoterapi. Pernah suatu ketika, arwah demam teruk dan keluarga memutuskan untuk membawanya ke hospital,” kongsi Hana.

Allahyarham selamat dikebumikan di Masjid Abu Ubaidah, Sri Rampai selepas solat Asar semalam.

Haron, yang pernah menempa populariti bersama kumpulan BPR menerusi lagu “Dari Sinar Mata”, meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata.


Sumber: [1]