Gigi Hadid Derma Pendapatan Bulanan Buat Palestin & Ukraine

Model terkemuka dunia, Gigi Hadid membuat pengumuman bahawa dia akan mendermakan pendapatan bulanan fesyennya untuk usaha bantuan di Ukraine, yang kini berdepan pencerobohan tentera Rusia.

gigi hadid derma pendapatan bulanan buat palestin & ukraine

Sejak beberapa minggu lalu, model itu telah menjadi tunjang utama di pentas peragaan, setelah berjalan untuk pertunjukan musim gugur utama 2022 di New York, Milan dan Paris, termasuk untuk koleksi Michael Kors, Versace dan Vivienne Westwood.

Selain itu, Hadid, yang merupakan warga Palestin di sebelah bapanya, juga akan menderma sebarang sokongan kewangan yang diterimanya bersempena bulan fesyen ini untuk menyokong usaha bantuan di Palestin.

Di sebalik kesibukan kerja, tambah pula tatkala dunia sedang dihadapkan dengan waktu yang menyayat hati, Hadid bagaimanapun tekad untuk melakukan sumbangan bermakna kepada masyarakat dunia.

“Kami tidak mempunyai kawalan ke atas kebanyakan jadual kerja kami, tetapi kami ingin berjalan ‘untuk’ sesuatu. Mengikuti jejak rakan saya dan rakan model Mica Arganaraz, saya berjanji untuk mendermakan pendapatan saya dari rancangan musim gugur 2022 bagi membantu mereka yang menderita akibat perang di Ukraine, serta terus menyokong mereka yang mengalami perkara sama di Palestin,” kata Hadid kepada 72.7 juta pengikut Instagramnya.

Terdahulu, model Argentina iaitu Mica Arganaraz menerusi Instagramnya berkongsi, “Saya harus mengatakan bahawa ia berasa sangat aneh berjalan di pertunjukan fesyen apabila mengetahui ada peperangan yang berlaku di benua sama. Saya akan menderma sebahagian daripada pendapatan saya dari minggu fesyen ini untuk membantu organisasi Ukraine.”

 

Sumber: [1]