Gara-Gara Kes Covid Dikesan Di Bangunan Sebelah, 32 Individu Terpaksa Kuarantin Dalam ‘Cyber Cafe’

Sekurang-kurangnya 32 orang di bandar Guangzhou, China telah dikuarantin di sebuah kafe siber selama sembilan hari selepas kes COVID-19 dikesan di kawasan itu.

gara-gara kes covid dikesan di bangunan sebelah, 32 individu terpaksa kuarantin dalam ‘cyber cafe’

Memetik Jimu News, gara-gara insiden itu, seorang wanita bermain begitu banyak ‘game’ ketika tempoh kuarantin tersebut sehingga akaun permainannya dinaik taraf daripada “diamond” menjadi “master”.

Agensi tersebut turut menyatakan bahawa wanita yang bernama Yu Lili itu tidak mempunyai latar belakang ‘gamer’ dan hanya akan berkunjung ke kafe siber terbabit untuk menggunakan perkhidmatan internet.

Bagaimanapun, Yu dan berpuluh-puluh individu lain mendapati diri mereka terkurung di kafe siber itu pada 8 April lalu selepas terdapat kes COVID-19 dikesan di bangunan sebelah.

Antara mereka yang turut dikuarantin termasuk seorang lelaki berusia 20 tahun bernama Zhang Chi yang kebetulan memasuki kafe itu kira-kira 30 minit sebelum ia ditutup.

Kongsi Zhang, dia masuk ke kafe tersebut hanya dengan niat untuk bertemu tiga rakan pemainnya di sana dan berbual dengan mereka.

Sebelum mereka dibebaskan pada 17 April, kumpulan yang dikuarantin itu memakan keseluruhan stok mi cawan dan makanan ringan yang ada di kafe itu.

Sebahagian daripada mereka yang terperangkap memesan makanan yang dimasak melalui penghantaran tetapi ia terbukti terlalu mahal dan tidak tahan, tambah Zhang.

Ceritanya lagi, kerana tempat tersebut tidak mempunyai tingkap, mereka juga tidak dapat mengetahui sekiranya di luar sana adalah siang atau malam.

Kisah kumpulan itu telah tular di media sosial terutama Weibo yang mana terdapat wargamaya yang mengatakan bahawa ia adalah salah satu tempat terbaik untuk kuarantin.

“Akhirnya, alasan yang sah untuk bermain ‘game’ sepanjang hari dan malam,” kata seorang wargamaya.

Ada juga yang bergurau bahawa kesemua 32 individu itu mungkin kini layak untuk membentuk pasukan e-sukan kebangsaan.

Sekatan mengejut bukanlah perkara luar biasa di China susulan prinsip negara tersebut yang mengamalkan dasar sifat COVID, yang melibatkan penguncian pantas, ujian besar-besaran dan sekatan perjalanan apabila muncul sesuatu kluster.

Januari lalu, Beijing mengunci seluruh bangunan pejabat selepas kes Omicron dikesan di sana, yang mana pekerja penjagaan  kesihatan membawa masuk selimut dan bantal untuk kegunaan para pekerja yang terpaksa bermalam di bilik mereka.

Bulan lalu juga, puluhan individu telah dikuarantin semalaman di sebuah restoran hotpot di bandar Zhengzhou selepas kes COVID dikesan di sana yang mana mereka yang terperangkap di situ dijamu dengan makanan percuma sepanjang malam.

 

Sumber: [1]