Enggan Terkecuali Dari Bayaran Bonus, Pasangan Suami Isteri Sanggup Beli Sijil Vaksinasi Palsu

Akibat enggan terkecuali daripada menerima bayaran bonus tahunan dan dikenakan tindakan tatatertib, sepasang suami isteri sanggup membeli sijil vaksinasi COVID-19 palsu.

enggan terkecuali dari bayaran bonus, pasangan suami isteri sanggup beli sijil vaksinasi palsu

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, siasatan awal mendapati pasangan tersebut membeli sijil itu dengan harga RM500 setiap satu menerusi rakan sekerja yang bertindak sebagai orang tengah.

“Kegiatan pasangan ini menggunakan sijil vaksinasi palsu mula terbongkar selepas pihak jabatan curiga dengan aplikasi MySejahtera berstatus vaksin lengkap dua dos yang dimiliki mereka sebelum membuat semakan di Klinik Kesihatan Rembia.

“Hasil semakan klinik berkenaan kemudian mendapati kedua-dua mereka tidak pernah menerima apa-apa vaksin sebelum laporan polis dibuat kerana mereka telah menipu pihak jabatan,” terangnya.

Lanjut beliau, siasatan lanjut mendapati pasangan tersebut mengaku membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu melalui orang tengah yang merupakan penjawat awam di jabatan sama.

Berikutan itu, mereka ditahan Selasa lalu di sekitar Melaka yang mana rampasan ke atas telefon bimbit kesemua tangkapan dilakukan.

Seorang lagi suspek yang dipercayai menjual sijil vaksinasi itu kini turut diburu.

Terdahulu, pasangan yang merupakan kumpulan anti vaksin itu juga pernah tampil membuat laporan polis pada tahun lalu berhubung keengganan mereka menerima suntikan vaksin.

“Siasatan lanjut mendapati rakan sekerja yang bertindak sebagai orang tengah itu telah mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos palsu ini daripada suspek yang masih bebas, yang digelar nama ‘Vnilai’.

“Sijil vaksinasi berkenaan juga boleh digunakan untuk mengimbas kod QR bagi memasuki premis perniagaan dan pihak polis sedang memburu suspek lain yang disyaki terlibat,” katanya.

 

Sumber: [1]