EURO 2020: Peraturan Gol Di Tempat Lawan Dimansuhkan Serta-Merta

Terbaru, Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan peraturan gol di tempat lawan tidak akan digunakan lagi untuk mana-mana pertandingan anjuran organisasi itu untuk musim 2021-22.

euro 2020: peraturan gol di tempat lawan dimansuhkan serta-merta

Ia berikutan setelah penelitian mendalam terhadap satu data yang dikeluarkan baru-baru ini, didapati jurang kemenangan antara tuan rumah dan pasukan pelawat dilihat semakin mengecil, dan itu termasuklah jumlah gol yang dijaringkan di laman sendiri dan tempat lawan.

Berikutan itu, UEFA berkeputusan memansuhkan peraturan terbabit dengan serta merta menjelang fasa kelayakan kempen musim ini.

“Peraturan gol di kandang lawan telah menjadi bahagian penting dalam pertandingan UEFA sejak ia diperkenalkan pada 1965,” jelas Presiden UEFA, Aleksander Ceferin.

“Namun, usaha memansuhkannya telah diperdebatkan dalam pelbagai pertemuan UEFA dalam beberapa tahun terakhir ini. Walaupun ia bukanlah sebulat suara tetapi kebanyakan jurulatih, peminat dan pihak berkepentingan dalam bola sepak ini mempersoalkan kewajarannya dan telah menyatakan pendirian mereka untuk memansuhkan peraturan ini.

“Peraturan ini bertentangan dengan tujuan asalnya hingga menghalang pasukan tuan rumah – terutama dalam pertemuan pertama – daripada melancarkan asakan sebab bimbang akan melepaskan gol yang boleh memberi kelebihan kepada seteru mereka.

“Ia juga dikritik kerana tidak adil terutama pada waktu tambahan yang mewajibkan pasukan tuan rumah meledak dua gol sebaik pelawat mencetak gol,” terangnya lagi.

Menurut satu kajian yang didedahkan UEFA, sejak pertengahan 1970, kadar kemenangan pasukan tuan rumah menurun dari 61% ke 47%.

Sementara itu, kemenangan ketika berkunjung ke laman lawan meningkat dari 19% ke 30%.

Sebagai makluman, peraturan gol di tempat lawan itu pertama kali diperkenalkan pada 1965 khusus untuk perlawanan timbal balik di peringkat kalah mati jika kedua-dua pasukan terikat dengan agregat.

Dengan penguatkuasaan keputusan tersebut secara serta merta, ia bermaksud Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Liga Persidangan Europa yang baru serta Liga Juara-Juara Wanita kini bebas daripada terikat dengan peraturan gol di tempat lawan.

 

Sumber: [1]