Dr Noor Hisham Kongsi Tanda Positif, Kes Discaj Turut Menaik Tatkala Peningkatan Kes COVID-19

Malaysia merekodkan kes sembuh COVID-19 dalam tempoh sebulan dengan 22,657 pada 26 Ogos lalu.

dr noor hisham kongsi tanda positif, kes discaj turut menaik tatkala peningkatan kes

Perkara tersebut dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mana menurutnya, jumlah kes yang didiscaj dari hospital meningkat sebanyak 591 kes kepada 2,152 kes.

Beliau menyifatkan ia sebagai petanda positif dalam peningkatan kes sembuh berbanding 1,562 kes yang didiscaj dari hospital pada 25 Julai lepas.

“Walaupun negara mencatatkan jumlah kes tertinggi (24,599) sepanjang pandemik pada Khamis, kebanyakan kes yang dilaporkan berada di kategori 1 dan 2 semasa didiagnos iaitu 23,939 kes bersamaan 97.3% daripada keseluruhan kes.

“Sebanyak 660 kes (2.7%) pula adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 dan ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19,” tulisnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Facebook.

Sebagai tambahan, beliau turut memaklumkan bahawa jumlah kes rendah yang dicatatkan bagi kategori 3, 4 dan 5 adalah seiring dengan program vaksinasi yang semakin giat dijalankan di seluruh negara.

Terangnya, setakat 25 Ogos lalu, sebanyak 40.8% daripada keseluruhan populasi di Malaysia yang mana 56.9% daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia telah menerima vaksin.

“Secara keseluruhan, 19,761 kes (80.3%) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada Khamis tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

“Dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan COVID-19 di dalam negara, terutamanya kes di kategori 3 hingga 5.

“Semua penduduk Malaysia dinasihatkan untuk segera mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin dan hadir pada tarikh janji temu seperti yang telah dijadualkan,” katanya.

 

Sumber: [1]