Disney+ Hotstar Tampil K-Drama Terbaru, Soundtrack #1, Dibintangi Han Sohee & Park Hyungsik!

Disney+ Hotstar bakal muncul dengan drama Korea terbarunya berjudul, Soundtrack #1 bermula 23 Mac ini.

disney+ hotstar tampil k-drama terbaru, soundtrack #1, dibintangi han sohee & park hyungsik!

Mengisahkan tentang tekanan di tempat kerja dan kesuntukan masa mencungkil rasa cinta yang lama terpendam antara dua sahabat karib, Soundtrack #1 dibintangi teraju utama iaitu Han Sohee dan Park Hyungsik.

Berlatar belakangkan Korea Selatan moden, Soundtrack #1 memaparkan kisah hidup antara seorang penulis lagu, Eunsoo (Han Sohee) yang sedang membina kerjaya dan sahabat baiknya, Sunwoo (Park Hyungsik) yang berusia 19 tahun.

Berhadapan dengan tugasan untuk menghasilkan sebuah lagu tentang cinta yang tidak berbalas, takdir membawa mereka tinggal serumah dan membuka satu lembaran kisah cinta ketika mereka sama-sama berusaha melengkapkan lagu tersebut.

Tanpa disedari Eunsoo, Sunwoo telah lama memendam perasaan sebenarnya terhadap Eunsoo kerana takut akan menjejaskan persabahatan mereka dan kehilangan gadis kesayangannya.

Seiring perkembangan plot cerita, perasaan yang tidak terungkap berputik apabila pasangan itu mula menghabiskan setiap saat bersama, menyebabkan mereka terpaksa berdepan konflik antara persahabatan dan percintaan.

disney+ hotstar tampil k-drama terbaru, soundtrack #1, dibintangi han sohee & park hyungsik!

K-Drama Soundtrack #1 telah mengembangkan lagi koleksi kandungan bertaraf dunia yang tersedia di Disney+ Hotstar. 

Penggemar K-Drama juga dapat menikmati Grid, sebuah siri web misteri dikeluarkan baru-baru ini, yang mengisahkan bayangan misteri yang berusaha menyelamatkan umat manusia, namun didakwa sebagai rakan subahat seorang pembunuh; Rookie Cops, sebuah drama cinta di kampus, mengikuti kehidupan sekumpulan pelajar baru di Akademi Polis Kebangsaan Korea yang cenderung bertindak melulu; drama bersiri sensasi Snowdrop yang dibintangi Jisoo dari BLACKPINK, mengisahkan seorang pelajar universiti yang berjuang menentang keluarga dan negaranya demi membantu lelaki dicintainya, serta banyak lagi kisah yang mengujakan dari seluruh dunia.

Penonton boleh mula menstrim Soundtrack #1 di Disney+ Hotstar mulai 23 Mac.