Diinspirasikan Daripada Budaya Sweden, IPC Lancar Kempen Kitar Semula Dan Terima Ganjaran

Sejak melandanya pandemik COVID-19 tahun lalu, trend mengemas, kitar semula dan upcycle semakin berkembang dengan baik.

diinspirasikan daripada budaya sweden, ipc lancar kempen kitar semula dan terima ganjaran

Manakan tidak, kebanyakan mereka mula menyedari kepentingan persekitaran yang selesa dan lapang kerana budaya work from home yang mula dipraktikkan secara meluas selain masa yang lebih banyak diluangkan di rumah.

Sehubungan dengan itu, Pusat Beli-Belah IPC telah mewujudkan Pusat Kitar Semula & Beli-Balik (Recycling & Buy-Back Centre, RBBC) untuk dijadikan sebagai hab pembuangan sisa mampan dengan perluasan barisan barangan yang boleh dikitar semula.

Usaha tersebut dibuat adalah untuk menyokong komuniti di dalam perjalanan kitar semula mereka.

Susulan itu, Kempen Hijau IPC kembali lagi buat tahun kelapannya.

Bertemakan #Panta Your Trash Away, ia bakal berlangsung sepanjang April dan Mei dalam usaha menggalakkan individu dan keluarga bagi mengitar semula bahan buangan mereka.

diinspirasikan daripada budaya sweden, ipc lancar kempen kitar semula dan terima ganjaran

Menariknya, ia diinspirasikan daripada warisan budaya Sweeden, yang mana Pusat Beli-Belah IPC mengguna pakai kaedah kitar semula yang disebut ‘panta’.

Buat mereka yang tidak tahu, ‘panta’ membawa maksud memberi sesuatu dan mendapatkan wang sebagai pulangan.

Di Sweden, ia merupakan sesuatu yang lazim untuk memasukkan botol plastik dan tin aluminium ke dalam mesin pengumpulan di pasar raya, dan menerima ganjaran wang segera daripada kelakuan baik itu.

Menurut Mark Tan, Pengurus Pemasaran Pusat Beli-Belah IPC, “Ramai rakyat Malaysia telah mengambil langkah untuk mengemaskan rumah mereka sejak setahun lalu.

“Bagaimanapun, barangan yang tidak dikehendaki lagi biasanya dibuang sahaja atas sebab sukar dibawa ke pusat kitar semula, pusat kitar semula hanya menerima jenis sampah tertentu, atau kurangnya insentif untuk kitar semula. Ini mengakibatkan paras tinggi di tempat pembuangan sampah.

“Untuk menanganinya, kami menyedari kepentingan mewujudkan ruang yang mudah dan kondusif bagi menggalakkan komuniti kita untuk membuang sisa mereka secara mampan. Dengan RBBC, kami telah mengumpul sisa buangan dan juga bahan yang boleh dikitar semula daripada buangan am sehinggalah sisa-elektronik, fabrik dan makanan untuk mengelakkan bahan buangan tersebut berakhir di tempat pembuangan sampah.”

diinspirasikan daripada budaya sweden, ipc lancar kempen kitar semula dan terima ganjaran

Lanjutnya lagi, “Kemampanan telah sentiasa menjadi bahagian terpenting bagi Pusat Beli-Belah IPC. Kami telah memperkenalkan sistem kitar semula kumulatif semasa kempen ini supaya pembeli boleh menerima ganjaran pada bila-bila masa sepanjang dua bulan ini apabila mereka menghantar bilangan secukupnya kertas, plastik dan aluminium.

“Kami berharap perluasan kategori bahan boleh dikitar semula ini dan pertambahan insentif dari kempen ini, akan mendorong individu dan keluarga untuk mengamalkan budaya baharu dan mencipta kenangan semasa mereka mengemas rumah dan mengkitar semula buangan mereka di RBBC.”

Sepanjang berlangsungnya kempen, para pembeli layak menerima ganjaran berganda seperti pulangan tunai dan hadiah eksklusif apabila mereka mengitar semula bahan-bahan seperti kertas, plastik atau aluminium di RBBC dengan minimum berat 8kg.

Selain itu, IPC juga menggalakkan kanak-kanak untuk menyertai Program Kitar Semula Små Club Warriors. Bukan sahaja mereka bakal menerima pelekat lencana sebagai tanda pengiktirafan, mereka juga akan memperoleh kit DIY yang mengajar kaedah menggubah bahan kitar semula menjadi karya seni yang cantik.

Aktiviti tersebut sekali gus dapat meningkatkan lagi kreativiti dalam kalangan kanak-kanak selain merapatkan ikatan mereka bersama keluarga ketika mencipta karya seni yang dibuat dengan menggunakan bahan kitar semula.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Hijau dan Pusat Kitar Semula & Bayar Balik, orang ramai boleh melayari website Pusat Beli-Belah IPC atau muat turun app mobil IPC secara percuma di  Apple App Store atau Google Play Store.