Dah Cuba Pelbagai Usaha Rawat Kanser, Elyana Mohon Peminat Faham Situasi Kesihatannya Sekarang

Penyanyi Elyana Emrizal yang kini menghidap kanser limfoma tahap keempat berkongsi luahan hati mengenai situasi kesihatannya yang seakan-akan disalah erti oleh sesetengah pihak.

dah cuba pelbagai usaha rawat kanser, elyana mohon peminat faham situasi kesihatannya sekarang

Menerusi coretan panjang di akaun Instagram peribadi miliknya, Elyana berharap agar warganet dapat memahami keadaannya sekarang.

Kongsinya, selama 10 tahun lebih dia melawan penyakit kanser limfoma, pelbagai usaha yang telah dicuba bagi memastikan kesihatannya berada pada tahap terbaik.

Bagaimanapun, masih terhadap segelintir warganet yang seolah-olah tidak mengerti usahanya dan menghakimi setiap perkara yang dilakukan olehnya bagi menyembuhkan penyakit tersebut.

“Saya dah sakit lebih 10 tahun. Lebih 20 kali chemo… lebih 30 kali radioterapi. Apa yang saya tak pernah lakukan?

“Diet? Pantang? Makan ubat? Rebus daun? Benda yang anda tak terfikir boleh makan pun saya makan… Macam-macam rasa saya telan juga untuk sihat.

“Tak makan selama setahun pun pernah, sebab tak ada selera. Berubat semua ceruk orang beritahu saya pergi.

“Tapi…jika kamu jadi saya, baru kamu akan faham keadaan ini. Tak ada gunanya jika saya jelaskan selagi kamu tidak merasainya sendiri.

“Beza kalau kita ni pernah jaga atau kenal orang yang sakit dengan kita sendiri yang mengalami dan berperang dengan sakit. Beza…

“Jika anda ingin membantu, belajar lah memahami… Bukan menghakimi dalam komen dan complain. Rosak jiwa saya. Saya dah buat sebaik mungkin yang saya mampu untuk 10 tahun ni,” luahnya.

Tambahnya lagi, tidak mudah untuk dia menjaga diri sendiri apatah lagi menjaga orang lain dalam keadaannya yang bergelut dengan masalah kesihatan.

“Saya tiada yang bantu untuk menjaga saya. Malah saya yang harus menjaga orang lain. Saya tak mengadu hanya nak beritahu. Saya bukan ada Superpower. Saya pun manusia biasa. Nak jaga diri sendiri pun tak ada masa.

“Tak campur lagi struggle saya yang tak ada selera nak makan. Mulut penuh ulser, demam tak menentu, saraf seluruh badan sakit, susah berjalan, tak boleh minum air, telan air liur pun sakit…

“Muntah… Ketakutan… Seluruh badan rosak… Susah bercakap… Tumpah darah bertahun-tahun, nak duduk berdiri sakit, nak jaga keluarga, nak cari duit, berfikir… Tak boleh tidur...

“Nak selalu tersenyum depan anda… Berat… Terlalu berat. Kamu tak akan dapat memahami selagi kamu tidak pernah merasainya sendiri,” kata Elyana, jujur.

 

Sumber: [1]