Club Mickey Mouse 'Comeback' Dengan Wajah Baru!

Program kesayangan ramai, Club Mickey Mouse kini kembali untuk menemui para peminat dengan musim terbarunya di tahun keempat!

club mickey mouse 'comeback' dengan wajah baru!

Menampilkan kelainan berbanding dengan musim-musimnya yang terdahulu, Club Mickey Mouse kali ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pendatang baru iaitu Eric Lau Lofstedt, 22, yang juga merupakan pemenang pingat emas sebanyak empat kali dalam Wushu Antarabangsa Kuala Lumpur.

Turut mengikut jejak Eric, ialah gadis Mouseketeer terbaru merangkap ahli termuda, Melynna Rose, 14, yang pernah membintangi Disney’s Wizards of Warna Walk.

Ia sekali gus melengkapkan geng Club Mickey Mouse yang juga dianggotai lima Mouseketeer asal – Wafiq, Erissa, Gabriel, Faiz dan Ellya.

“Sudah pastinya, sebagai yang paling tua dalam kalangan semua, saya perlu menjadi abang yang baik kepada mereka. Jaga mereka, pastikan mereka tidak berbuat sebarang kesilapan,” luah Eric ketika berbicara mengenai perasaannya sebagai ‘abang long’ dalam geng tersebut.

“Tapi, kami juga bergembira sesama sendiri. Saya berupaya untuk belajar banyak benda daripada mereka di samping menjadi jujur dari segi perasaan dengan adanya mereka,” lanjutnya.

club mickey mouse 'comeback' dengan wajah baru!

Turut teruja dengan musim kali ini, luah Ellya Keesha yang merupakan anggota asal Club Mickey Mouse, “Musim ini kami punya terlalu banyak benda menarik, namun saya tidak bercerita terlalu banyak mengenainya! Saya berasa sangat teruja sepanjang menjalani penggambaran dari mula sehingga habis.

“Salah satu momen yang paling menyeronokkan adalah apabila kami bermain permainan tradisional. Ditambah lagi dengan kemunculan tetamu selebriti, yang tidak pernah gagal ‘membuka’ sisi kompetitif kami,” ujarnya.

Lina Tan selaku Penerbit Eksekutif berkata, “Ramai yang berbakat di luar sana. Namun apa yang membezakan kesemua Mouseketeer ini ialah, mereka benar-benar mempunyai hati yang tulus. Biarpun ada kalanya mereka terpaksa menari untuk masa jangka masa panjang, namun mereka tetap kekal bersemangat dan benar-benar bersungguh.”

“Eric dan Melynna membuka dimensi yang baru terhadap musim terbaru ini. Yang pasti, setiap musim sememangnya menyeronokkan dan menyegarkan. Namun, kami sangat menantikan musim kali ini,” tambahnya lagi mengenai penambahan Mouseketeer dalam musim kali ini.

Musim ke-4 Club Mickey Mouse bakal menyaksikan beberapa tetamu selebriti yang juga merupakan figura inspirasi ramai melakukan penampilan istimewa dalam program itu.

Antaranya termasuklah, pelakon Alif Satar, Alyssa Dezek, Sean Lee; Angkasawan Malaysia Dr Faiz Khaleed; sang genius matematik Yaashwin Sarawanan; penyanyi Sarah Suhairi dan De Fam; Penyelam Olimpik Cheong Jun Hoong; dan influencer Cupcake Aisyah.

Club Mickey Mouse kini sudah boleh distrim di Disney+ Hostar bermula 28 Julai, yang mana episod baru program tersebut akan menemui para penonton pada setiap minggu. Sementara itu musim pertama hingga ketiga turut boleh ditonton penuh di platform terbabit.