China mengumumkan bahawa ia bakal mengubah dasar dua anak bagi membenarkan pasangan untuk memiliki tiga orang anak.
Langkah tersebut diambil bertujuan meningkatkan jumlah penduduk negara terbabit yang kini dikatakan rencat dari segi pertumbuhan populasinya.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan negara itu, jelas mereka: “Dasar kelahiran akan diperbaiki lagi, yang mana dasar ini akan memungkinkan pasangan untuk memiliki tiga orang anak serta akan turut diperkenalkan dengan beberapa langkah sokongan lain.”
Pelaksanaan langkah diumumkan setelah China setelah ia dilaporkan mencatat kadar pertumbuhan penduduk yang paling perlahan sejak 1950-an.
Sebagai tambahan, berdasarkan angka yang diperoleh menerusi banci penduduk dalam tempoh 10 tahun terakhir ini, negara tersebut menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan yang menurun kepada 0.53% berbanding 0.57% pada 2000 hingga 2010.
Kadar kelahiran terbabit dikatakan tahap terendah yang pernah dialami China sejak 1952; menurut laporan dari Biro Perangkaan Nasional negara terbabit, 12 juta bayi dilahirkan pada 2020 berbanding dengan 14.65 juta pada 2019.
Memetik laporan Reuters, biarpun jumlah penduduk China kekal pada 1.41 bilion orang, ia bagaimanapun gagal mencapai sasaran yang ditetapkan 2016, iaitu untuk mencapai 1.42 bilion orang menjelang 2020.
Sehubungan dengan itu, bagi mempromosikan dasar tiga anak yang baru sahaja diumumkan, kerajaan China kini dalam usaha melaksanakan pelbagai rebat cukai bagi pasangan yang memiliki anak bawah tiga tahun selain merancang untuk menyediakan para ibu bapa dengan kemudahan perumahan awam.
Ia juga akan meningkatkan lagi jumlah kumpulan profesional berkaitan tumbesaran awal kanak-kanak bagi memastikan kecukupan jumlah taska dan pusat penjagaan untuk kemudahan para ibu bapa. Di samping itu, dasar berkenaan waktu bekerja dan cuti ibu bapa yang lebih fleksibel juga akan dikuatkuasakan dengan lebih tegas.
Pelbagai langkah lain akan turut dilaksanakan, dijangka bermula pada 2025, dan selesai dijalankan menjelang 2035.
Sumber: [1] [2]