COVID-19: WHO Mengesahkan Kes Meningkat Dua Kali Ganda Di Eropah

covid-19: who mengesahkan kes meningkat dua kali ganda di eropah

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan kes penularan koronavirus di Eropah telah meningkat dua kali ganda setiap tiga hingga empat hari. Perkara itu dilaporkan oleh wakil WHO, Dr Maria Van Kerkhove.

Menurut beliau, pakar sering memantau dan mengenal pasti bilangan kes COVID-19 yang dilaporkan setiap hari bagi memahami berapa cepat bilangan tersebut menjadi berganda.

"Sekarang, di seluruh Eropah, masa penggandaan adalah antara tiga sehingga empat hari. Itu adalah tempoh yang sangat cepat," kata Van Kerkhove.

Selain itu, Van Kerkhove turut menekankan kepentingan ujian bagi menentukan penyebaran wabak secara global.

Sehingga artikel ini ditulis, wabak COVID-19 telah menyerang 1.6 juta penduduk dunia dan meraut lebih 95 ribu nyawa. Manakala jumlah pesakit yang sembuh pula adalah sebanyak 356 ribu.

Sumber: Astro Awani