COVID-19: Varian Delta Mampu Merebak Seperti Demam Campak

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC)  memberi amaran bahawa varian Delta yang menular pantas berupaya mengakibatkan penyakit yang lebih teruk dan mudah menjangkiti antara satu sama lain seperti penyakit demam campak dan cacar air.

covid-19: varian delta mampu merebak seperti demam campak

Menurut Pengarah CDC Amerika Syarikat (AS), Dr. Rochelle Walensky, pihaknya mendedahkan satu data dalaman yang melihat mereka yang telah divaksin sepenuhnya kemungkinan mampu untuk menyebarkan varian terbabit pada kadar yang sama dengan mereka yang masih belum memperoleh suntikan vaksin.

Susulan itu, CDD dijadualkan untuk menerbitkan data bagi menyokong kenyataan kontroversi oleh Walensky untuk mengubah panduan atau pandangan bagi orang yang telah menerima suntikan vaksin sepenuhnya.

“Langkah-langkah yang kita perlukan untuk mengawal varian ini adalah sangat melampau, ia perlukan satu kawalan yang cukup terperinci,” tambahnya.

Berdasarkan data yang dikaji CDC lagi, sifat penularan varian Delta ini hampir menyerupai demam campak dan cacar air yang mana setiap orang yang dijangkiti berupaya untuk menjangkiti lagi lapan hingga sembilan individu lain.

Walaupun mereka yang telah menerima suntikan vaksin mampu untuk dijangkiti, namun tegas CDC, mereka yang divaksin adalah lebih selamat kerana vaksin itu boleh mnecegah lebih 90% penyakit lebih teruk.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan varian Delta adalah 60% lebih cepat merebak dan membawa lebih banyak kematian.

Ia pertama kali dikesan di India dan telah menyebabkan berlakunya tsunami COVID-19 di negara terbabit sehingga lumpuh sistem perkhidmatan mereka.

 

Sumber: [1]