Fasa ketiga bagi proses penyuntikan vaksin melibatkan golongan dewasa yang berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang bermula hari ini.
Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, 99% warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Kuala Lumpur dan 88% di Selangor telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka atau memperoleh janji temu.
“Sukacita saya maklumkan 99% daripada warga emas dan OKU di Kuala Lumpur sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama serta 88% peratus di Selangor.
“Oleh yang demikian saya membuat keputusan, fasa ketiga di Lembah Klang akan bermula esok iaitu Isnin,” kata beliau ketika sidang media bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Ahad lalu.
Selain itu, Khairy turut menjelaskan bahawa warga emas yang belum mendaftar di MySejahtera namun baru mendaftar dalam fasa ketiga akan didahulukan dalam senarai vaksinasi.
“Ini bermakna vaksinasi akan dilakukan secara serentak, kita tidak akan mengambil vaksin yang diperntukkan kepada warga emas, sebaliknya kita memang ada tambahan vaksin untuk fasa ketiga,” katanya.
Bagaimanapun, Khairy turut menerangkan beberapa daerah seperti Putrajaya telah pun melengkapkan vaksinasi terhadap golongan warga emas dan OKU, bermaksud ia telah memasuki fasa ketiga beberapa minggu yang lalu.
Tambahnya lagi, mana-mana negeri yang sudah selesai 90% fasa kedua layak vaksinasi untuk memasuki fasa ketiga.
Sumber: [1]