Burung Hantu Legenda Muncul Kelihatan Di Hutan Hujan Afrika Selepas 150 Tahun Tidak Kelihatan

Seekor burung hantu gergasi yang tidak pernah kelihatan di alam liar selama 150 tahun baru-baru ini ditemui kembali.

burung hantu legenda muncul kelihatan di hutan hujan afrika selepas 150 tahun tidak kelihatan

Seorang jurugambar sempat menangkap foto burung hantu tersebut di sekitar hutan hujan Afrika.

Dikenali sebagai Burung Hantu Helang Shelley, ia dikatakan merupakan antara burung hantu terbesar di dunia dan mempunyai panjang dari 53 cm hingga 61 cm serta memiliki berat lebih kurang 1.257 kg.

Ia dikatakan hampir menjadi legenda kerana penampakan terakhir Burung Hantu Helang Shelley disahkan adalah pada 1870-an.

Sejak dari itu, tiada sesiapa yang pernah melihat atau menemuinya di alam liar sehingga timbulnya spekulasi yang spesis tersebut telah pun pupus dan ditelan zaman.

Namun, semua spekulasi itu terhenti selepas seorang pakar ekologi dari Somerset, iaitu Dr. Robert Williams dan Dr. Joseph Tobias dari Jabatan Sains Hayat Imperial College London menemui makhluk menakjubkan itu semeasa bekerja di Hutan Atewa di Ghana.

“Apabila kami mengangkat teropong kami, kami jadi terngaga. Tidak ada burung hantu lain di hutan hujan Afrika yang sebesar itu,” kata Dr. Tobias.

“Mudah-mudahan penemuan burung hantu yang jarang ditemui dan hebat itu akan meningkatkan lagi usaha untuk menyelamatkan salah satu hutan liar terakhir di Ghana,” jelas Dr. Willams.

Turut tidak ketinggalan, penemuan tersebut juga disifatkan sebagai ‘sensasi’ oleh Dr. Nathaniel Annorbah dari Universiti Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari, Ghana.

“Ini adalah penemuan sensasi. Kami telah mencari burung misteri ini selama bertahun-tahun di tanah rendah barat, jadi untuk menemuinya di sini di hutan puncak Wilayah Timur adalah satu kejutan besar,” kongsinya.

Burung Hantu Helang Shelley dikatakan berasal dari Afrika Tengah dan Barat.

Namun, setakat ini, ia hanya ditemui di hutan hujan Afrika.

 

Sumber: [1]