Bukan Varian Yang Membimbangkan, Varian C.1.2 Masih Belum Merebak Setakat Ini

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan bahawa varian koronavirus yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan pada Mei lalu tidak tersebar setakat ini.

bukan varian yang membimbangkan, varian c.1.2 masih belum merebak setakat ini

Langkah pemantauan bagaimanapun sedang diambil bagi melihat perkembangan virus COVID-19 yang bermutasi itu,

Menurut jurucakap WHO Margaret Harris, varian yang dilabel C.1.2 itu tidak jatuh dalam kateogori varian yang membimbangkan (VOC).

“Ia kelihatannya tidak meningkat dari segi peredaran,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan saintis yang berpangkalan di Afrika Selatan kini ligat memantau varian terbabit yang dikatakan memiliki kadar mutasi tinggi luar biasa dan kekerapannya dilaporkan beransur-ansur meningkat dalam tempoh beberapa bulan terakhir.

Kewujudan varian terbabit mula dibangkitkan oleh KwaZulu-Natal Research and Innovation and Sequencing Platform pada minggu lalu menerusi satu kajian pra-cetak yang belum dikaji semula.

Biarpun sebilangan besar kes COVID-19 di Afrika Selatan pada ketika ini adalah berpunca daripada varian Delta, varian terbaru C.1.2 ini turut menarik perhatian saintis gara-gara mutasinya yang dikatakan hampir dua kali lebih pantas berbanding dengan varian global sedia ada lain.

Sebagai tambahan, Saintis Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD) Afrika Selatan memaklumkan bahawa varian C.1.2 hanya ‘hadir pada tahap yang sangat rendah’ selain terlalu awal untuk meramalkan mengenai perkembangan di masa akan datang.

Pada ketika ini, ia bagaimanapun sudah dikesan di sembilan wilayah Afrika Selatan serta beberapa negara lain seperti China, Mauritius, New Zealand dan Britain.

 

Sumber: [1]