Bintang pop China, Kris Wu, dilaporkan telah ditahan pihak polis di Beijing kerana disyaki memperkosa setelah didakwa “berulang kali menggoda wanita muda untuk melakukan hubungan seks” seperti yang diterangkan dalam satu kenyataan polis pada minggu lalu.
Menurut pihak polis di daerah Chaoyang di ibu negara China, kes berkenaan Wu, 30, atau nama sebenarnya, Wu Yifan masih berada dalam siasatan.
Tuduhan melibatkan Wu itu pertama kali muncul pada bulan lalu di Weibo, sebuah platform media sosial China, ketika seorang gadis yang bernama Du Meizhu memuat naik siri entri, mendakwa yang dia diserang secara seksual ketika bergelar pelajar di Universiti Komunikasi China di Beijing.
Menurut gadis itu, dia berusia 17 tahun ketika kejadian tersebut berlaku.
Sejurus entri terbabit tular di media sosial, Wu serta-merta menafikan tuduhan tersebut di akaun peribadi Weibo miliknya dengan menyebut tuduhan itu sebagai ‘khabar angin jahat’ dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penuduh.
Rentetan daripada itu, akaun Weibo milik Wu yang mempunyai lebih 51 juta pengikut itu telah diturunkan berikutan kenyataan pihak polis.
Menurut agensi penguatkuasaan undang-undang tertinggi China, “Di Tanah Besar China, ia adalah perlu untuk mematuhi undang-undang. Kami tidak salah; kami tidak memanjakan. Kami mengambil fakta sebagai asas dan undang-undang sebagai kriteria.”
Wu pertama kali menempa populariti menerusi kumpulan K-Pop EXO yang dianggotainya dari 2012 hingga 2014.
Setelah meninggalkan kumpulan tersebut, dia meneruskan perjalanan kariernya sebagai anak seni dengan membintangi beberapa filem termasuk bergelar model bagi banyak jenama antarabangsa seperti Burberry.
Bagaimanapun, sejurus dilanda kontroversi mengenai tuduhan seksual yang dilakukannya, namanya serta-merta disingkirkan daripada kesemua jenama-jenama besar yang melantiknya sebagai duta misalnya Louis Vuitton, Bulgari, Porsche dan banyak lagi.
Sumber: [1]