Bekas Mangsa Culik Jumpa Semula Keluarga Menggunakan Peta Rumah Yang Dilukis Tangan Olehnya

Selepas beberapa dekad, pihak polis berjaya menyatukan semula bekas mangsa culik, iaitu seorang lelaki di China bersama ibu bapanya hanya dengan menggunakan peta kampung halaman yang dilukisnya menggunakan tangan.

bekas mangsa culik jumpa semula keluarga menggunakan peta rumah yang dilukis tangan olehnya

Memetik laporan CNN, Li Jingwei telah diculik dari kampung halamannya di wilayah Yunna pada tahun 1988 oleh seorang lelaki yang dikenali keluarganya.

Li, kini 37, tahu dia telah diculik ketika berusia empat tahun tetapi tidak ingat nama kelahirannya, apatah lagi nama kampung dan nama ibu bapanya.

Li dikatakan dibawa tinggal bersama keluarga lain di wilayah Henan selepas penculikan tersebut berlaku.

Walaupun dia tidak dapat mengingati nama kampungnya, Li bagaimanapun berupaya untuk mengingati aspek-aspek bandar itu seperti tempat kawanan kerbau air berada, sawah pada dan kolam berhampiran rumahnya serta arah jalan dan sungai menurut laporan VICE.

Pada 24 Disember, Li menyiarkan video di sebuah platform media sosial untuk meminta bantun mencari keluarganya.

“Saya seorang kanak-kanak yang mencari rumahnya,” kata Li dalam video tersebut.

“Saya dibawa ke Henan oleh seorang jiran yang berambut botak sekitar tahun 1989, ketika saya berumur kira-kira empat tahun. Ini adalah peta kawasan rumah saya yang telah saya lukis dari ingatan.”

Li berkata dalam video itu bahawa dia tidak tahu sama ada keluarganya masih mencari dia kerana “begitu banyak tahun” telah berlalu.

“Saya ingin melihat ibu bapa saya kembali sementara mereka masih ada,” kata Li dalam video tersebut.

Pihak polis kemudian menggunakan lukisan Li itu untuk mengesan ibu kandungnya di bandar Zhaotong di wilayah Yunnan.

Menurut VICE, ibu Li dengan tepat menggambarkan parut pada dagunya dalam panggilan telefon dengan Li yang mana ujian DNA yang dilakukan kemudian mengesahkan mereka berkongsi pertalian darah.

Li bertemu semula dengan ibunya pada 1 Januari di sebuah balai polis di Henan.

 

Sumber: [1]