Bekas Anggota BIGBANG, Seungri Dijatuhkan Hukuman 3 Tahun Penjara

Bekas anggota BIGBANG, Seungri, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun pada Khamis lalu atas kesalahan melibatkan pelacuran dan perjudian.

bekas anggota bigbang, seungri dijatuhkan hukuman 3 tahun penjara

Seungri atau nama sebenarnya, Lee Seung Hyun dikenakan hukuman terbabit setelah disiasat berhubung penglibatannya dalam skandal Burning Sun, yang disifatkan sebagai skandal terbesar yang pernah terjadi dalam industri hiburan Korea Selatan.

Dia didapati bersalah atas kesemua sembilan tuduhan terhadapnya, termasuk mengatur perkhidmatan pelacuran bagi para pelabur selain terlibat dalam perjudian antarabangsa.

Selain itu, Seungri juga diarahkan untuk membayar denda berjumlah 1.15 bilion won Korea (RM4.18 juta).

“Tertuduh (Seungri) mengatur tawaran seksual buat pelabur asing beberapa kali di samping bersekongkol bersama rakan perniagaannya Yoo In Suk.

“Jenayah yang dilakukannya itu mengkomersialkan seks serta melanggar adat tradisional telah mendatangkan bahaya kepada masyarakat,” kata pihak mahkamah seperti mana yang dipetik daripada laporan media tempatan.

Julai lalu, pendakwa raya mahkamah tentera dilaporkan berkata Seungri “tidak menunjukkan tanda insaf dan menuding jari kepada orang lain, walaupun setelah mengaut keuntungan daripada kesalahannya”.

Terdahulu, Seungri terpalit dengan skandal membabitkan kelab malam Burning Sun di Seoul pada 2019 yang menyaksikan beberapa tuduhan besar dilemparkan terhadap penggiat industri hiburan yang berkait dengan kelab malam terbabit.

Bekas anggota BIGBANG itu kemudian didaftar masuk ke perkhidmatan tentera Korea Selatan pada tahun lalu selepas mengumumkan dirinya berundur daripada kumpulan yang telah dianggotainya selama 13 tahun.

Antara yang terlibat termasuklah penyanyi Jung Joon Young dan Choi Jong Hoon (FT Island) yang dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan gangguan seksual dan rogol.

Dalam perkembangan lain, pengasas syarikat pengurusan BIGBANG iaitu YG Entertainment, Yang Hyun Suk kini disiasat berhubung penglibatannya dalam skandal Burning Sun dan beberapa tuduhan lain.

 

Sumber: [1]