Destinasi pelancongan popular Indonesia, Bali berhasrat untuk mengisi masa terluang pelancong tatkala pandemik dengan menjadi pusat kuarantin bagi pelancong asing yang memasuki Indonesia.
Menurut Wakil Gabenor Tjokorda Oka Artha Ardana Sukawati, atau Cok Ace, langkah tersebut sepertinya turut disambung baik dalam kalangan pelancong asing yang berada di Bali terutamanya untuk menjalani proses kuarantin sebaik sahaja mereka tiba di Indonesia.
“Setelah proses kuarantin berakhir, mereka dapat menuju ke destinasi tujuan mereka seperti Jakarta atau wilayah lain,” katanya.
Sepanjang pandemik melanda, pelancong asing yang tiba di Indonesia diharuskan untuk transit dan menjalani proses kuarantin di Jakarta sebelum mereka dapat berangkat ke destinasi tujuan mereka, termasuk Bali.
“Ini tidak akan memberi kesan ekonomi yang besar, tetapi membenarkan pelancong asing datang ke Bali untuk kuarantin, agar dapat menghidupkan semangat yang membara dalam kalangan penggiat industri pelancongan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ganop Warsito yang mengetuai Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB) Indonesia mengatakan bahawa Pasukan Petugas COVID-19 di negara terbabit bakal mempertimbangkan cadangan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Indonesia kini masih melarang kebanyakan kedatangan asing tatkala pelaksanaan protokol Penguatkuasaan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) sedang giat dijalankan.
Selain itu, beberapa pengecualian termasuk pemegang Visa Diplomatik dan Visa Perkhidmatan, serta mereka yang mempunyai Permit Tinggal Sementara (KITAS) dan Permit Menginap Tetap (KITAP).
Pada masa sama, sekatan perjalanan global turut mempengaruhi ekonomi destinasi pelancongan popular itu.
Tahun lalu sahaja, lebih dari 36,000 penduduk Bali dilaporkan jatuh bawah garis kemiskinan akibat pandemik yang melanda.
Sumber: [1]