Bahasa Melayu Catat Rekod Dunia, Bahasa Ke-10 Popular

Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga kerana Bahasa Melayu bukan sahaja masih diguna pakai di peringkat antarabangsa tetapi juga menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia.

bahasa melayu catat rekod dunia, bahasa ke-10 popular

Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mana menurut beliau, pada masa ini, terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai namun hanya 20 bahasa sahaja yang dikelaskan dan diberi taraf sebagai bahasa rasmi termasuk Bahasa Melayu.

“Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia.

“Keadaan ini tidak berlaku kepada semua bahasa utama dunia kerana terdapat bahasa yang lenyap ditelan arus globalisasi, manakala sebahagian yang lain berhadapan dengan ancaman kepupusan,” kata beliau.

Beliau turut menambah Malaysia seharusnya bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku kepada Bahasa Melayu berikutan semuanya hasil kesepaduan rumpun Nusantara yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam sebagai pendukung utama.

“Dengan itu, adalah tidak mustahil jika bilangan penutur Bahasa Melayu di dunia ini, yang sekarang ini sudah pun melebihi 300 juta orang, malah akan lebih berkembang, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan ‘lingua franca’ Bahasa Melayu,” ujarnya.

 

Sumber: [1]