Bertemakan ‘Semangat Lebaran Kita’, Astro sebagai stesen penyiaran utama negara bersedia mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadan dengan pengisian terbaik yang akan dipimpin drama-drama tempatan berkualiti tinggi, segmen bual bicara berbentuk kerohanian, pelbagai program gaya hidup, realiti dan rancangan istimewa untuk kanak-kanak serta filem-filem blockbuster.
Para pelanggan Astro akan dapat menikmati pengisian ini dalam definisi tinggi menerusi Astro Ultra Box atau Astro Ulti Box.
Pengisian drama di Astro akan diterajui drama bersiri Jangan Menangis Cinta di slot Megadrama yang dibintangi Amyra Rosli dan Remy Ishak, terbitan SR One dan terjemahan layar nukilan Siti Rosmizah Semail yang terkenal menerusi karya-karya hebat seperti Rindu Separuh Nyawa dan Curi Curi Cinta.
Di saluran sama, peminat drama juga dapat menyaksikan siri mini istimewa bertajuk Nusyuz Berkiblat Cinta yang menampilkan Emma Maembong, Fikry Ibrahim dan Nadhir Nasar sebagai peneraju watak-watak utama.
Drama-drama ini boleh ditonton di saluran definisi tinggi Astro Ria HD (104).
Turut tidak ketinggalan, drama bersiri Dendam Seorang Isteri pimpinan Sharulezad Mohameddin terbitan Radius One, akan menyaksikan persembahan Fasha Sandha, Nad Zainal, Wan Raja dan Aidit Noh dan tersedia di saluran Astro Prima HD (105).
Menariknya, ia adalah adaptasi drama bersiri Korea popular, iaitu Temptation of Wife.
Sebagai pelopor dan penyokong kandungan drama tempatan berkualiti tinggi, Astro sentiasa mengutamakan penulisan jalan cerita yang padu, penampilan barisan pelakon terhangat dan kerjasama bersama syarikat-syarikat penerbit termasyhur.
Ujar wakil rasmi Astro dan Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi, “Bagi menerajui sajian kandungan kami yang bakal menemui penonton bermula seawal minggu ini, kami di Astro, sebagai pioneer dan penyokong kandungan drama tempatan berkualiti tinggi akan sekali lagi mempertaruhkan drama-drama baharu yang diangkat dari naskhah-naskhah hebat serta dibarisi nama-nama besar dalam industri.
“Bukan sekadar dari segi lakonan, kami juga menitikberatkan jalan cerita drama yang memberi dimensi yang lebih mendalam, dan mencerminkan pelbagai corak representasi lapisan masyarakat sebenar. Antara jalan penceritaan yang diketengahkan adalah seperti kisah anak syurga, pengkhianatan dan dendam, serta penderaan rumahtangga.”
Bagi memeriahkan lagi kempen Ramadan 2022, Astro juga telah melantik duta-duta ‘Semangat Lebaran Kita’ iaitu Danial Zaini, Erissa Puteri, Hun Haqeem, Nadhir Nasar, Wafiy Ilhan, Wani Kayrie dan Yaya Zahir serta Upin & Ipin.
Sepanjang bulan Ramadan 1443H, Astro terus berusaha menyajikan pengisian menarik lagi istimewa setiap hari buat tatapan rakyat Malaysia yang juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO di mana jua, pada bila-bila masa.