Kegagalan menjulang trofi Liga Europa baru-baru ini menyebabkan Ole Gunnar Solskjaer menerima kritikan hebat. Berdepan Villareal, United dilabel sebagai pasukan pilihan namun hanya mampu seri 1-1 sehingga tamat masa tambahan. Memasuki penentuan sepakan penalti, Gerónimo Rulli muncul wira Villareal. Penjaga gol itu mennyempurnakan sepakan penaltinya sebelum menyelamatkan percubaan David de Gea. Villareal menang 11-10 untuk meraih kejuaraan utama pertamanya dalam sejarah sekaligus membantu pengendalinya, Unai Emery menjuarai Liga Europa buat kali ke-4.
Tamat aksi final tersebut, #OleOut kembali trending di media sosial. Solskjaer dikritik kerana tidak melakukan pertukaran pemain pada waktu yang sepatutnya dan tidak mengubah taktikal untuk menamatkan perlawanan tersebut dalam tempoh 90 minit. Lebih teruk ada yang berpendapat Solskjaer seharusnya tidak diberi peluang untuk meneruskan karier sebagai pengurus United. Betul ke Solskjaer tak layak? Atau peminat United terlalu gelojoh dalam mengejar kejuaraan?
United tamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim ini di tempat ke-2 dengan 74 mata. Solskjaer berjaya bantu United perbaiki kedudukan mereka musim lalu di tempat ke-3 dengan 66 mata. Pengurus kelahiran Norway itu juga akhirnya berjaya mara ke final kejohanan utama iaitu Liga Europa. Sebelum ini, Solskjaer tersingkir 4 kali pada pusingan separuh akhir kejohanan – satu lagi peningkatan daripada Solskjaer.
Selepas kita tengok peningkatan yang dilakukan Solskjaer, dia setidaknya telah menunaikan janji dia ketika dilantik sebagai pengurus 2 setengah tahun yang lalu. Solskjaer tekad untuk sekurang-kurangnya menjadikan United sebagai pasukan yang mencabar kejuaraan. Mencabar je, belum memenangi kejuaraan. Jadi, apa yang Solskjaer perlukan untuk membantu United meraih kejuaraan pertama di bawah kendaliannya? Kegagalan meraih trofi Liga Europa baru-baru ini menyaksikan United ketandusan trofi untuk 4 musim berturut-turut.
Perbaiki rekod United di Old Trafford. The Red Devils tewas 6 kali di Old Trafford musim ini termasuk diaibkan Tottenham 1-6 selain tewas 1-2 kepada pasukan tercorot Sheffield United. Ia bukan rekod yang diingini Solskjaer memandangkan anak buahnya berjaya kekalkan rekod tanpa kalah di tempat lawan sepanjang musim.
Berbelanja untuk dapatkan pemain. Solskjaer sendiri akui memerlukan 2 atau 3 pemain lagi untuk merapatkan jurang dengan Manchester City. Pihak pengurusan United seharusnya bersedia untuk terus memberi sokongan kepada Solskjaer dengan menyediakan dana untuk mendapatkan pemain. Masih ingat saga perpindahan Jadon Sancho ke United musim lalu? Jangan terkejut kalau ia jadi kenyataan musim ini. Kehadiran Sancho pasti dapat membantu mengurangkan bebanan Bruno Fernandes untuk menggerakkan serangan United. Namun, ekoran pandemik COVID-19 yang melanda, sukar untuk kita jangkakan jumlah dana yang mampu disediakan United.
Prestasi United perlu konsisten. Sepanjang musim, United bergelut untuk mengekalkan prestasi cemerlang mereka. Mereka seri 11 kali dalam saingan liga – termasuk dengan pasukan bawahan seperti Crystal Palace, West Brom dan Fulham. Kalau Solskjaer ingin membimbing United untuk meraih sebarang trofi musim depan, prestasi tidak menentu ini tidak harus berterusan.
Kegagalan Solskjaer dan United menjulang trofi Liga Europa pada penampilan final pertama mereka mungkin akan beri impak positif musim depan. Perasaan kecewa malam tersebut pasti akan menjadi pengajaran penting dan sesuatu yang tidak ingin dirasai kembali. ‘A blessing in disguise’ bak kata pepatah. Mungkin kekalahan kepada Villareal akan terus membuatkan pemain United dahagakan kejayaan sekaligus pamerkan prestasi cemerlang dan konsisten musim depan.
Adakah Solskjaer mampu untuk bawa United kembali kepada kegemilangan Sir Alex Ferguson? Tidak mustahil. Potensi itu ada. Cuma penyokong United perlu bersabar. Pemecatan David Moyes selepas 10 bulan mengendalikan United pada musim 2014-2015 seharusnya dijadikan pengajaran. Pengurus perlukan masa untuk berjaya. Itu juga merupakan kata-kata Sir Alex. Tahu kenapa beliau berkata demikian? Sir Alex hanya meraih trofi pertamanya dengan United pada musim ke-4 mengendalikan kelab itu. Dan dalam tempoh tersebut, Sir Alex juga hampir dipecat.
Rasanya, dah boleh lah kita hentikan #OleOut di media sosial ni kan?
Oleh: Karami Kamel