Apa Cerita Sesi Persekolahan 2020?

apa cerita sesi persekolahan 2020?

Sedar tak sedar, sudah lebih sebulan murid dan pelajar sekolah-sekolah rendah dan menengah bercuti sejak cuti pertengahan penggal bermula pada 13 Mac lalu.

Penularan wabak COVID-19 dan pengumuman tempoh Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan memaksa sekolah ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin umumkan, pembukaan sesi persekolahan akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal sebelum sekolah dibuka.

Katanya, keputusan menyambung semula sesi persekolahan hanya akan dibuat apabila kerajaan benar-benar yakin keadaan benar-benar selamat daripada wabak COVID-19.

apa cerita sesi persekolahan 2020?

Pembukaan semula sekolah nanti bagaimanapun hanya melibatkan kelas peperiksaan awam seperti SPM, SVM, STPM, STAM dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan.

Dengan kelewatan itu, beberapa ketetapan baru terpaksa dibuat termasuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Pembatalan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid serta kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh.

apa cerita sesi persekolahan 2020?

Selain itu tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ditunda ke suku pertama 2021.

Tarikh peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia semester kedua pula ditunda ke bulan Ogos 2020 manakala semester ketiga akan diadakan dalam suku pertama 2021.

Serentak itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baru ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Kemasukan bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma dilanjutkan sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021.

apa cerita sesi persekolahan 2020?

KPM dalam pada itu ucap terima kasih kepada hampir 500 ribu guru kerana mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian kepada anak didik mereka dalam tempoh sukar ini.

Sekali lagi KPM menegaskan, takwim sekolah 2020 kekal dengan cuti sekolah akhir tahun tidak dipendekkan dan pembukaan sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada KKM dan MKN.

Jadi, buat calon-calon peperiksaan awam di luar sana, korang dah boleh mula susun kembali jadual pembelajaran masing-masing walaupun nampak macam jauh lagi tarikh peperiksaan tu kan?

Gunakan masa yang ada dalam tempoh PKP ini sebaiknya dengan perkara-perkara yang berfaedah.

Oleh: Shah Rahimin