Akibat mengambil mudah dengan syarat kuarantin di negara jiran, dua orang pelancong dari United Kingdom ‘diusir’ dari Indonesia.
Dua pelancong tersebut yang masing-masing dikenali sebagai ODE, 39, dan MM, 32, dihantar pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta pada malam Rabu lalu, setelah kedua-dua mereka melarikan diri daripada kuarantin awal bulan Mei.
Bukan itu sahaja, mereka juga dilarang mengunjungi Indonesia sekurang-kurangnya setahun,
Dalam video yang dimuat naik di Instagram, pejabat imigresen di Soekarno-Hatta menulis kapsyen yang berbunyi, “Kedua-duanya menganggap sistem kuarantin bagi orang asing di Indonesia remeh. Mereka percaya bahawa setiap manusia memiliki kebebasan untuk pergi ke mana-mana sahaja berdasarkan undang-undang alam, yang memiliki hierarki yang lebih tinggi daripada undang-undang pemerintah mana-mana pun.”
Difahamkan bahawa semua ketibaan asing di Indonesia diperlukan untuk menjalani kuarantin selama lima hari namun kedua-dua pelancong terbabit dikatakan melarikan diri ketika menaiki teksi ke hotel, dengan menggunakan alasan mereka hendak menggunakan tandas. Kejadian itu berlaku pada 7 Mei.
Pemandu tersebut yang pada awalnya menganggap mereka benar-benar ke tandas, menunggu, kerana kedua-duanya meninggalkan barang-barang mereka di bahagian bonet. Namun ternyata, mereka sebenarnya melarikan diri setelah sekian lama menunggu, tidak muncul-muncul.
Pihak berkuasa lapangan terbang kemudian melancarkan pencarian ODE dan MM, dan mereka akhirnya ditangkap di Bogor, Jawa Barat pada 21 Mei lalu.
Pihak polis yang mengetuai operasi tersebut mengatakan bahawa pasangan itu bergerak dari tempat ke tempat dan tinggal di hotel yang berbeza sejak melarikan diri.
“Mereka cuba melarikan diri dengan alasan bahawa mereka tidak mempunyai wang untuk sebuah hotel. Mereka tidak mempunyai wang yang cukup,” ujarnya.
Sumber: [1]