Abang Siti Sarah Kesal Pernah Antivaksin, "Bila Dah Kena Baru Tahu"

Abang kepada Allahyarhamah Siti Sarah, iaitu Ahmad Firdous Raisuddin mengaku menyesal kerana pernah bergelar antivaksin.

abang siti sarah kesal pernah antivaksin, bila dah kena baru tahu

“Banyak pengalaman dan pengajaran yang saya peroleh selepas kembali pulih daripada COVID-19...kalau orang cakap dulu saya antivaksin, memang betul saya antivaksin sebelum ini di atas sebab-sebab tertentu.

“Tapi, sekarang saya bersedia untuk ambil vaksin sebagai ikhtiar kehidupan dan selepas mendapat vaksinasi penuh ia akan memudahkan kita untuk menajalankan pelbagai urusan harian,” ujarnya menerusi satu video yang dikongsi di akaun Facebook peribadi.

Tidak ketinggalan, Ahmad Firdous turut menitipkan ucapan penghargaannya terhadap barisan petugas hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawanya.

Ahmad Firdous pernah menderita COVID-19 pada tahap 4 hingga terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Orang kata COVID is real, memang COVID is real. Dah kena, COVID is real la. Pada mereka yang saya tulis doktor pembunuh la apa la, saya mohon maaf banyak-banyak pada doktor, pada nurse dan berterima kasih.

“Bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa saya ini, terima kasih banyak-banyak. Frontliners memang saya respect. Frontliners yang menjaga di wad ICU, saya katil kat depan, bayangkan macam mana diorang bekerja.

“Bila dah kena, baru tahu. Baru kita rasa, teruklah kita ni. Menyebarkan benda yang tak benar, tak baik, padahal dia yang tolong kita,” katanya lagi.

Justeru itu, Ahmad Firdous mengatakan yang dia bertekad untuk mengambil vaksin COVID-19 tidak lama lagi.

“Diri saya bila dah kena, Insya-Allah bila saya sihat, Insya-Allah saya akan ambil vaksin. Saya tahu penderitaan orang yang kena COVID sangat teruk.

“Mana yang cakap dulu saya antivaksin, takpela itu pengalaman hidup saya, pengajaran bagi saya. Dan mereka-mereka yang tak nak ambil (vaksin), terpulang pada korang.

“Saya tak paksa tapi bila kena COVID walaupun tahap 1, 2, kena ingat korang boleh jangkit pada orang lain dan orang lain kita tak tahu antibodi diorang macam mana.

“Pengalaman saya di ICU, saya baring, ada yang baru masuk dan ditidurkan, esok pagi dialisis terus, saya tengok benda-benda ni dalam ICU amat-amat mengerikan. Hari-hari kita berdoa, kadang moral kita down, boleh jadi naik, nak keluar daripada ICU untuk lawan COVID ni,” kongsinya.

Terdahulu, Ahmad Firdous dilaporkan pernah memuat naik status yang mempersoalkan keberkesanan vaksin COVID-19 yang pada ketika itu sedang ligat diberikan kepada orang ramai.

Ogos kemudian, dia disahkan positif COVID-19 dan ditidurkan di ICU, Hospital Serdang.

 

Sumber: [1]