Kira-kira 40 peratus daripada 5,000 kediaman umat Islam yang diperiksa di sekitar Lembah Klang telah tersasar daripada kedudukan kiblat yang tepat.
Situasi itu dikesan Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS), hingga menyaksikanada antara ruang solat di sesebuah kediaman tersasar sehingga 180 darjah daripada kedudukan sebenar.
Pelbagai faktor menjadi punca situasi ini terjadi seperti kesilapan membaca kompas ketika membuat penentuan sendiri arah tempat bersolat, demikian menurut PAFNS.
Hasil pemeriksaan lebih 20,000 kediaman dan premis, hanya 5,000 mempunyai penanda arah kiblat yang ditanda tuan rumah dengan 2,000 daripadanya jelas terpesong.
Baki 15,000 lagi belum ada penanda arah kiblat kerana rumah terbabit baharu hendak didiami dan PAFNS dipanggil untuk membantu menentukan arahnya.
Tambah lagi, ada pemilik yang membuat penentuan arah kiblat dengan hanya menghadap kepada matahari terbenam pada Disember, sekaligus menyebabkan ia tersasar ke kiri sebanyak 46 darjah daripada arah sebenar.
"Ada juga kediaman tersasar sehingga 180 darjah atau membelakangkan kiblat dan hasil pemeriksaan mendapati, pemilik itu membaca kompas dengan terbalik.
"Selain itu, wujud kebiasaan masyarakat menggunakan kedudukan masjid berhampiran. Mereka ini membayangkan arah kiblat masjid, sedang rumahnya tidak sama dengan kedudukan masjid kerana terpisah dengan jalan dan sebagainya," kata Setiausaha Agung PAFNS, Abdul Latip Ibrahim.
Lebih mengejutkan, ada arah yang jelas terpesong sehingga 180 darjah, selepas penyewa sebuah rumah hanya berpandukan lipatan sejadah yang ditinggalkan tuan rumah.
"Ada kes yang kita kesan, seorang penyewa membuat andaian sendiri, iaitu apabila dia melihat lipatan sejadah yang ditinggalkan tuan rumah.
"Rupa-rupanya sejadah itu dilipat ke belakang, lalu penyewa pun mengikut arah berlawanan daripada kiblat 180 darjah membelakangi kiblat," katanya lagi.
Tambah lagi, penentuan arah kiblat dengan menggunakan kompas semata dan aplikasi kiblat secara online juga tidak seharusnya dijadikan panduan utama dalam menetapkan arah kiblat.
Sumber: BH