Wujud Gangguan Iklim, 2023 Mungkin Jadi Tahun Paling Panas Dalam Sejarah Manusia

Susulan daripada ketidaktentuan suhu global yang terjadi ketika ini, tahun 2023 mungkin akan menjadi tahun paling panas dalam sejarah manusia.

wujud gangguan iklim, 2023 mungkin jadi tahun paling panas dalam sejarah manusia

Menurut laporan daripada pemantau iklim Kesatuan Eropah (EU), suhu global ketika musim panas Hemisfera Utara adalah paling panas yang pernah dicatatkan.

 

Malah, sejak tiga bulan yang lalu, terdapat beberapa bencana alam yang terjadi seperti gelombang suhu panas, kemarau dan kebakaran dahsyat hutan di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Utara. Keadaan ini nyata memberi impak dramatik terhadap ekonomi, ekosistem dan juga kesihatan manusia.

 

"Suhu purata global pada Jun, Julai dan Ogos ialah 16.77 darjah Celsius mengatasi rekod pada 2019 iaitu 16.48 darjah Celsius.

"Ketiga-tiga bulan itu adalah paling panas dalam tempoh kira-kira 120,000 tahun," jelas Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubahan Cuaca Copernicus (C3S), Samantha Burgess.

 

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonoa Guterres berkata, gangguan iklim dunia kini sudah pun bermula.

 

"Saintis telah memberi amaran sejak sekian lama. Iklim sedang 'meletup' dengan cepat dengan keadaan cuaca ekstrem dan luar biasa melanda seluruh kawasan di bumi," ujarnya.

 

Malah, suhu laut secara purata juga mencecah 21 darjah Celsius, mengatasi rekod sebelum ini yang menyaksikan Lautan Atlantik Utara dan Mediterranean menjadi lebih panas.

 

Peningkatan suhu secara berterusan dijangka berlaku ditengah-tengah fenomena El Nino yang baru sahaja bermula.

 

Saintis juga turut meramalkan kesan buruk El Nino bakal dirasai pada akhir tahun sehingga ke tahun hadapan.

 

Sumber: Sinar Harian