Kira-kira empat bulan berlalu, pandemik COVID-19 belum lagi menampakkan tanda-tanda reda selepas menjangkiti lebih 2.35 juta manusia di suluruh dunia.
Setakat 19 April 2020, virus ini telah mengorbankan lebih 162 ribu penduduk bumi namun hampir 605 ribu lagi berjaya sembuh daripada wabak ini.
Bagaimanapun daripada 195 buah negara di dunia, diulangi, 195 buah negara! masih ada yang belum merekodkan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan penduduknya.
Memetik laporan Al Jazeera, sehingga kini dikhabarkan terdapat 16 buah negara, kebanyakannya kepulauan-kepulauan kecil yang masih bebas virus ini.
Ini termasuklah Kiribati, Micronesia, Kepulauan Marshall, Nauru, Palau, Samoa, Kepulauan Solomon, Tonga, Tuvalu dan Vanuatu yang berada di benua Oceania di Lautan Pasifik.
Turut bebas wabak COVID-19 adalah Kepulauan Comoros, Sao Tome and Principe dan Lesotho di Afrika, Korea Utara serta Tajikistan dan Turkmenistan di Asia Tengah.
Antara negara yang paling tegas dalam membendung penularan wabak ini ialah Korea Utara yang mula menyekat kemasukan warga asing sejak 22 Januari lalu.
Namun, statistik ini sukar untuk disahkan kerana ada negara yang tidak berkongsi maklumat sebenar.
Oleh: Shah Rahimin