12 Kes Arcturus COVID19 Kini Dikesan di Malaysia – Menteri Kesihatan

Terdapat 12 kes COVID-19 subvarian XBB.1.16 atau Arcturus kini dilaporkan di Malaysia, namun semua kes tersebut menunjukkan gejala ringan dan stabil.

12 kes arcturus covid19 kini dikesan di malaysia – menteri kesihatan

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menjelaskan bahawa dari jumlah kes tersebut, enam kes dilaporkan di Sarawak, empat di Selangor dan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Menurut beliau, subvarian ini terbentuk hasil gabungan varian BA.2.10.1 dan BA.2.75. Sehingga 2 April lepas, ia telah dikesan sekurang-kurangnya di 31 buah negara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

 

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengelaskannya sebagai Variant of Interest (VOI) sejak 17 April 2023.

“Ini bermakna hasil penilaian risiko Kumpulan Pakar Teknikal Evolusi Virus SARS-CoV-WHO telah menilaikannya sebagai suatu subvarian yang memerlukan perhatian, tetapi tidak diletakkan dalam kelas varian di bawah pemantauan,” kata Dr Zaliha.

12 kes arcturus covid19 kini dikesan di malaysia – menteri kesihatan

Beliau juga menegaskan bahawa walaupun Malaysia telah mengenal pasti varian XBB.1.16 ini sejak Mac 2023, keadaan jangkitan COVID-19 masih terkawal dan tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital.

 

Dr Zaliha menambah, penilaian risiko peringkat global melaporkan risiko jangkitan dan keterukan kes yang disebabkan oleh subvarian XBB1.16 adalah lebih rendah daripada subvarian XBB.1.5 dan varian atau subvarian lain yang telah dilaporkan sebelum ini.

 

Jumlah kes terkini pada Minggu Epidemiologi (ME) 16/2023 telah menurun sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada 5,149 kes pada ME 15/2023 kepada 4,817 kes.

 

Beliau juga menyatakan bahawa varian Omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang sedang menular dan sehingga kini, sebanyak 70.97 peratus (18,319 kes) daripada jumlah kumulatif kes yang dijangkiti, dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan VOI jenis varian Omicron dan subvariannya.

 

Sumber: Sinar Harian