Mulai 1 Feb, Penjawat Awam Yang Baru Hanya Akan Dilantik Secara Kontrak

Mulai 1 Februari 2024, satu kaedah baharu bagi lantikan tetap dalam pegawai awam akan diperkenalkan.

mulai 1 feb, penjawat awam yang baru hanya akan dilantik secara kontrak

Menerusi pekeliling bertarikh 15 Jan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kaedah tersebut selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

 

“Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023 telah memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan.

“Inisiatif kaedah lantikan baharu tersebut kini sedang dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan dan penambahbaikan terhadap kesediaan sistem yang terlibat.

“Susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu tersebut, Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah tersebut, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa tahun ini,” katanya.

 

Ujar beliau lagi, kaedah pelaksanaan lantikan kontrak ini adalah mengikut kepada pekeliling, peraturan dan kaedah semasa yang sedang berkuatkuasa iaitu MyPPSM Ceraian UP.1.1.1 Prosedur dan Dasar Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service).

 

Sumber: Kosmo!