Baru-baru ini, kecoh mengenai kumpulan atlet Israel yang bertindak menghancurkan katil kadbod yang disediakan khusus sebagai tempat tidur para atlet di Perkampungan Olimpik.
Dalam satu video Tik Tok tular yang kini telah dipadamkan, seorang ahli pasukan besbol Israel, Benjamin Wanger, jelas kelihatan bersama lapan atlet Israel lain yang turut bertanding dalam temasya tersebut, cuba untuk ‘menguji’ kapasiti sebenar katil itu.
Namun, apa yang kurang menyenangkan adalah kelakuan mereka yang melompat-lompat di atas katil tersebut secara serentak.
Tulis Wanger pada video terbabit, “Mendapat banyak pertanyaan mengenai tempat tidur di Perkampungan Olimpik, jadi hari ini kami akan memeriksa dan melihat berapa banyak orang Israel yang diperlukan untuk menghancurkan salah satu tempat tidur kadbod ini.”
Kurang dari 24 jam ia disiarkan, video tersebut berhasil menarik perhatian lebih 280,000 pengguna di laman tersebut yang menontonnya.
Pada mulanya, hanya Wanger yang melompat di atas katil tersebut. Bagaimanapun, satu demi satu daripada kontinjen Israel yang berada di ruang tersebut kemudian ‘bergabung tenaga’ untuk melompat bersama di atas katil tersebut. Alhasilnya, ia hancur sebaik dipanjat ahli mereka yang kesembilan.
Sejak bermulanya Sukan Olimpik Tokyo 2020, tempat tidur yang dikhususkan terhadap Perkampungan Olimpik itu menjadi objek tumpuan orang ramai, sehingga timbul desas-desus yang mengatakan ia dibina untuk mencegah mereka yang bertanding di Sukan Olimpik kali ini daripada melakukan hubungan intim. Bagaimanapun, menerusi laporan The New York Times, khabar angin tersebut ternyata palsu.
Difahamkan juga, Takashi Kitajima, yang merupakan Pengurus Besar bagi perkampungan terbabit, juga pernah memaklumkan kepada Associated Press pada Januari tahun lalu bahawa tempat tidur yang dihasilkan oleh sebuah syarikat tempatan itu sebenarnya mampu menampung berat hingga kira-kira 199 kilogram.
Selain atlet Israel ini, terdapat juga segelintir atlet lain yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang turut berkongsi video mereka ‘menguji’ kekuatan katil tersebut menerusi hashtag #cardboardbed yang digunakan di Tik Tok, yang mana kesemua video berkenaannya kini telah mengumpulkan lebih dari.3 juta tontonan di laman terbabit.
Salah seorang atlet yang dimaksudkan termasuklah pemain ragbi Amerika Syarikat, Cody Melphy yang berdiri di atas katil tersebut sambil mencuba filter di Tik Tok. Namun, kekuatan katil tersebut ternyata begitu kuat kerana ia sedikit pun tidak mengalami kesan rosak sehingga menyebabkan ramai pengguna di laman tersebut yang menyatakan kekaguman mereka terhadap strukturnya yang kukuh itu!
Sumber: [1]