Seakan tidak percaya apabila melihat ikan emas dalam sebuah tangki dilihat berupaya memandu sendiri bekasnya yang dijadikan kenderaan.
Ikan emas yang dijadikan bahan kajian sekumpulan saintis di Univesiti Ben-Gurion, dilihat berupaya memandu kenderaan yang direka khas, dikenali sebagai Kenderaan Pengendalian Ikan (FOV).
Rekaan FOV pertama dengan empat tayar itu mampu bertindak balas kepada pergerakan ikan dalam air sama ada untuk memecut, berpusing ataupun berhenti.
Kumpulan saintis yang terdiri daripada jurutera bioperubatan dan pakar saraf itu berjaya melatih ikan emas untuk memandu dalam sebuah bilik menghala ke arah sasarannya yang berupa pelet makanan ikan.
Hasil kajian juga mendapati enam ekor ikan berbeza boleh mengemudi kenderaan itu melintasi ruang bilik untuk ke sasaran mereka sambil mengelak jalan mati.
Menurut salah seorang penyelidik yang terlibat, Shachar Givon berkata, kajian ini jelas menunjukkan ikan emas mempunyai keupayaan kognitif untuk mempelajari tugas yang kompleks dalam persekitaran berbeza.
“Sesiapa yang pernah cuba belajar menunggang basikal atau memandu kereta tahu bahawa tugas itu memang mencabar pada mulanya. Ikan-ikan itu bagaimanapun menjadi semakin mahir dan pada sesi terakhir, ia berjaya mengawal FOV pada tahap yang tinggi,’’ katanya.
Sumber: [1]