Sebuah rombongan pengantin lelaki tersalah menggunakan arah yang ditunjukkan navigasi Google Maps dan tiba di rumah pengantin wanita lain, hingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan mereka.
Kejadian berlaku di Jawa ketika pengantin wanita yang dikenali sebagai Ulfa, 27, sedang bersolek sementara menanti ketibaan pengantin lelaki. Namun, yang tiba dirumahnya ketika itu adalah lelaki berbeza.
"Keluarga juga tidak kenal sangat ahli keluarga pengantin lelaki. Tetapi keluarga mengalu-alukan kehadiran mereka dan acara pertukaran hantaran juga sudah diadakan.
"Bagaimanapun, salah seorang daripada rombongan itu secara tiba-tiba menyedari mereka tersilap rumah pengantin lalu bergegas keluar. Mereka dikatakan tersilap mengikut Google Maps dan memohon maaf," katanya.
Tambahnya lagi, tunang dan rombongan pengantin lelakinya belum tiba kerana sedang berhenti untuk mencari tandas.
"Saya terkejut dan bingung kerana tidak mengenali sesiapa daripada ahli rombongan berkenaan. Saudara ada bertanyakan kepada mereka, siapa calon pengantin wanita dan ternyata bukan saya. Rombongan itu dari Pemalang sementara tunang saya dari Kendal.
"Akibat tersilap rumah, saudara membantu dan menghantarkan rombongan itu ke rumah pengantin wanita yang betul dengan jarak tidak jauh dari kampung ini.
"Kebetulan pada hari kejadian iaitu Ahad, dua majlis perkahwinan berlangsung dan boleh menimbulkan kekeliruan," katanya.
Video kekecohan yang memaparkan gelak tawa rombongan ini ketika kejadian telah dimuatnaik di Instagram @makassar_iinfo dan mendapat perhatian ramai.
Sumber: Sinar Harian