Nama sedang meningkat naik, namun sebuah berita telah dikeluarkan dan mengejutkan industri tanah air selepas syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengumumkan Syasya telah menarik diri daripada kumpulannya Dolla.
Menurut kenyataan Universal, Syasya telah menarik diri dari kumpulan tersebut atas sebab peribadi yang tidak dimaklumkan secara terperinci.
“Kami ingin mengumumkan bahawa salah seorang ahli kumpulan Dolla iaitu Syasya telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut atas sebab peribadi.
“Walaupun berat hati untuk menerima keputusan Syasya, pihak kami tetap menghormati pendiriannya dan sentiasa mengharapkan yang terbaik untuknya,” katanya.
Namun, tiga ahlinya yang lain iaitu Angel, Sabronzo dan Tabby menghormati keputusan yang dibuat Syasya dengan hati yang terbuka dan tetap akan meneruskan perjuangan Dolla.
“Kami tetap komited untuk menyokong tiga lagi ahli kumpulan Dolla iaitu Angel, Sabronzo dan Tabby dalam meneruskan perjuangan seni buat peminat di dalam dan luar negara.
“Pihak kami telah pun membuat pelbagai perancangan untuk memastikan Dolla menempa nama di persada muzik Asia Tenggara dan tetap akan meneruskan perancangan tersebut.
“Kami juga amat menghargai segala sokongan yang telah diterima Dolla selama empat tahun sejak kemunculan mereka selain berharap peminat dan pihak media akan terus memberi sokongan penuh terhadap kerjaya mereka,” ujar kenyataan itu.
Sumber: Kosmo