Gara-gara mempunyai ketinggian dan wajahnya yang kelihatan seperti masih kanak-kanak, pelakon, Mia Sara akur tawaran lakonan untuknya terhad.
Menurut Mia, 19, persoalan mengenai umur dan ketinggian juga sering dijawabnya hinggakan sudah lali dengan perkara itu.
Tambah pemilik nama sebenar Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan ini, beliau juga akui sudah penat dengan perkara itu, namun akur kerana ia tidak boleh diubah.
"Saiz tubuh dan tinggi saya memang begini, jadi saya terima dengan hati terbuka. Jika diikutkan, pada usia ini saya sudah boleh membawa watak yang lebih dewasa, namun hendak buat apa lagi kan?
"Jadi jika diajukan mengenai tawaran lakonan, memang tidak dinafikan agak terhad. Jika ada tawaran, pasti saya boleh buktikan peralihan usia itu," kata Mia yang mempunyai ketinggian 149 sentimeter.
Dalam pada itu, Mia berharap agar penerbit dan pengarah dapat memberikan kepercayaan kepadanya untuk memikul pelbagai watak meskipun ketinggian dan wajahnya masih mirip kanak-kanak.
Mia Sara mula menceburi bidang lakonan pada tahun 2008 dan sering menjadi pilihan sebagai pelakon kanak-kanak dalam beberapa filem serta drama tempatan.
Sumber: HMetro