Pernahkah anda mengalami pening dan sakit kepala tertumpu seperti sebelah kiri sahaja?
Jika YA, anda tidak keseorangan kerana ramai sebenarnya yang mempunyai rasa seperti ini, namun membiarkannya sahaja kerana beranggapan ia hanya sakit kepala biasa.
Tak kira sebelah kiri mahupun kanan atau kedua-duanya, rasa sakit kepala yang menyebabkan pening boleh datang tiba-tiba atau kekal untuk satu tempoh tertentu dan kesannya mungkin boleh membawa sehingga leher, gigi atau bahagian belakang mata.
Punca sebenar sakit kepala di bahagian kiri terbahagi kepada beberapa faktor risiko termasuklah:
#1 Gaya hidup individu
Sakit kepala sebelah kiri mungkin disebabkan oleh gaya hidup individu itu sendiri, seperti:
- Tidak makan atau minum
- Pengambilan alkohol
- Stres
- Diet
- Tidak cukup tidur atau insomnia dan sering berjaga pada waktu malam
#2 Kondisi neurologi individu
Masalah pada sistem saraf di otak individu juga boleh menjadi punca sakit kepala sebelah kiri seperti occipital neuralgia, trigeminal neuralgia, giant cell arteritis dan lain-lain.
#3 Beberapa jenis jangkitan & alahan
Jangkitan saluran pernafasan seperti selesema atau flu yang disebabkan oleh virus juga boleh menyebabkan rasa sakit kepala pada sebelah kiri.
Ia terjadi disebabkan reaksi alergi lantas yang menyebabkan mukus pada sinus berkumpul, tersumbat dan memberi tekanan. Jangkitan lebih serius seperti encephalitis dan meningitis pula akan mengakibatkan pening kepala kronik selain simptom seperti demam panas, tegang leher dan sawan.
#4 Pengambilan ubatan tertentu
Dalam kita tidak sedar, pengambilan ubatan tertentu dengan tujuan merawat sakit kepala sebenarnya boleh menjadi lebih teruk jika kita menggunakannya secara berlebihan.
#5 Pemakaian topi, tudung atau sarung kepala
Jika anda memakai sebarang pelitup pada kepala, sila pastikan ia tidak terlalu ketat agar tidak wujud tekanan terlalu kuat padanya.
Jika rasa sakit kepala anda berterusan dalam satu jangka masa lama, segera dapatkan pemeriksaan doktor untuk rawatan pantas. Pencegahan dari awal mampu menyelamatkan nyawa dan kesihatan anda.
Sumber: Hello Doktor