Pemilik Bengkel Mahu Bantu Pulihkan Kereta Rosak Akibat Banjir Secara Percuma

Pemilik sebuah bengkel kereta DRS Auto berbesar hati menawarkan perkhidmatan membaik pulih kereta yang terjejas banjir secara percuma, bagi membantu mangsa yang terkesan bencana itu.

Mohammad Naim Yacob, mengambil lengkah ini untuk membantu meringankan beban mangsa banjir yang perlu menanggung kerugian. 

"Saya nak bantu mana-mana kereta yang terkesan akibat banjir, saya akan membantu secara percuma dan semampu yang saya boleh buat, yang penting sampai kereta boleh dihidupkan dan pemilik boleh guna.

"Kalau boleh mana-mana kereta yang dah tenggelam banjir, saya harap jangan hidupkan dulu, telefon saya dan saya akan datang ke tempat mangsa dan baiki sehingga enjin dia hidup semula," katanya.

Sehingga kini dia telah menerima tiga buah kereta yang rosak akibat banjir. 

"Saya anggarkan boleh baiki anggaran 10 kereta satu hari, bergantung pada masa dan jenis kerosakan.

"Antara perkhidmatan yang kita boleh buat pada kereta yang dah kena banjir ni kita cuci dan ganti minyak hitam, tembak angin untuk keluarkan minyak dan ganti penapis angin," katanya yang mana kos sebenar menelan kira-kira RM200.

"Dari segi pengangkutan, kita takkan kenakan apa-apa. Seikhlas hati dan percuma," tambahnya lagi.

 

Sumber: Awani