Pelakon, Farid Kamil tidak menyangka insiden kehilangan cincin perkahwinan mereka lapan tahun lalu yang didedahkan isteri, Diana Danielle, menjadi satu isu yang besar.
Ketika ditemui, Farid berkata cincin itu hilang selepas isterinya tersalah letak ketika melahirkan anak kedua mereka, Nur Aurora.
Katanya, semasa kejadian itu berlaku, Diana tersalah letak cincin memandangkan semua aksesori seperti barang kemas perlu ditanggalkan.
"Sebenarnya, cincin perkahwinan yang saya berikan itu dipakai Diana. Ketika melahirkan Aurora secara kelahiran dalam air (water birth) di Bangsar, dia salah letak memandangkan semua aksesori termasuklah barang kemas perlu ditanggalkan.
"Jadi, dia buka dan simpan dalam beg. Namun, selepas selesai proses bersalin, kami mencari cincin itu tapi tak jumpa.
"Bila kami gagal, Diana bersedih dan menangis. Untuk menghalangnya daripada terus bersedih di samping anak kedua kami, saya jelaskan kepadanya bahawa cincin itu bukanlah keutamaan jika dibandingkan dengan kegembiraan (menyambut cahaya mata) kami pada ketika itu memandangkan ia dapat dibeli," katanya.
Justeru, bagi menggantikan cincin perkahwinan itu, Farid telah menawarkan kepada Diana sekotak barang kemas berisi enam cincin dan dua rantai emas bernilai RM10,700.
Tambah Farid, beliau tidak menyangka isu hilang cincin itu adalah satu perkara besar yang disebut oleh Diana Danielle sebelum ini.
Terdahulu, Farid telah menawarkan penamaian kepada Diana Danielle barangan berjumlah RM319,700 sebagai usaha untuk memujuk isterinya dan bagi menyelamatkan rumah tangga mereka. Namun Diana dikatakan menolak tawaran itu dan nekad mahu meneruskan penceraian.
Sumber: HMetro