Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Occupational and Environmental Medicine mendedahkan bekerja secara syif pada waktu malam boleh menjejaskan daya ingatan dan fungsi otak.
Menurut data yang diperoleh daripada 18 kajian secara kolektif melibatkan 18,000 peserta, hal ini dikaitkan dengan tahap kewaspadaan dan fokus visual yang lebih rendah serta penurunan dalam keupayaan untuk mengawal impuls serta tindak balas situasi.
Ia sekaligus berpotensi meningkatkan risiko kecederaan dan kesilapan di tempat kerja.
Menurut kajian itu lagi, pekerja syif malam mempunyai skor markah yang lebih rendah dalam kawalan impuls serta keupayaan membuat keputusan.
“Kajian terdahulu telah mengaitkan kerja syif dengan masalah tidur dan komplikasi kesihatan serius lain, termasuk penyakit jantung, obesiti, diabetes, gangguan mood dan penyalahgunaan bahan terlarang.
“Bekerja di luar kitaran siang malam bakal mengganggu jam dalaman badan atau rentak sirkadian,” kata saintis Universiti Swasta Sigmund Freud, Thomas Vlasak.
Tambah lagi, indvidu yang menghidap diabetes didapati lebih sukar untuk menguruskan keadaan diabetes mereka jika bekerja pada syif malam. Hal ini adalah kerana, wujud perubahan waktu bekerja yang tidak normal lalu mengubah rutin hidup yang lain seperti waktu makan, waktu tidur dan waktu rehat.
Justeru, penghidap diabetes yang perlu bekerja syif malam dinasihatkan untuk:
- Kenal pasti jumlah waktu tidur yang anda perlukan dan tentukan waktu tidur anda setiap hari secara spesifik. Individu dewasa memerlukan antara tujuh hingga lapan jam waktu tidur sehari, oleh itu pastikan anda mendapat jumlah waktu tidur yang sewajarnya.
- Cuba tidur dalam beberapa waktu yang berbeza. Ini untuk melihat pada waktu bilakah anda akan mendapat tidur yang paling berkualiti.
- Sekiranya anda mengalami kekurangan waktu tidur pada hari tersebut, cari waktu lapang yang lain dan tidur sebentar atau nap.
- Tidur sebentar untuk merehatkan diri anda sebelum anda mula bekerja.
- Apabila anda telah mendapat corak tidur yang sesuai untuk diri anda, kekalkan rutin tersebut.
Jika anda dapati terdapat masalah yang serius pada tubuh badan anda, sila dapatkan nasihat dan rawatan segera di hospital atau klinik berdekatan. Jangan biarkan aktiviti kerja menggangu tahap kesihatan anda.
Sumber: [1], [2]