Sejak semalam (2 Ogos), tular foto yang menunjukkan sebuah cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menaikkan notis mengatakan bahawa JPJ tidak lagi mengeluarkan cukai jalan kenderaan persendirian secara fizikal mulai 1 Ogos lalu.
Baca: JPJ Tak Lagi Keluarkan Roadtax Fizikal Mulai 1 Ogos, Ini Cara Guna App MyJPJ
Bagaimanapun Menteri Pengangkutan, Anthony Like berkata, beberapa cawangan JPJ telah diarah untuk menurunkan notis tesebut dan orang ramai masih lagi dibenarkan memohon roadtax fizikal dicawangan JPJ berhampiran.
Notis itu dinaikkan kerana ada beberapa cawangan JPJ telah kehabisan pelekat fizikal yang memerlukan orang ramai beralih kepada aplikasi MyJPJ, dan ia bukanlah satu keputusan secara dasar.
"Stiker (cukai jalan fizikal) masih dikeluarkan, cuma ada beberapa cawangan kehabisan stok jadi mereka letak notis tiada lagi cukai jalan fizikal tapi itu bukan keputusan dasar. Jadi kita ambil langkah cepat, apabila kita tahu cawangan itu telah habis stok, kita akan teruskan tempahan stok," katanya.
Tambah Anthony lagi, kementeriannya masih belum menetapkan tarikh untuk menukar roadtax kepada digital secara sepenuhnya, malah rakyat masih diberi pilihan untuk menggunakan cukai jalan fizikal.
"Sementara ini kita akan bagi lagi, tapi akan sampai masa kita kata semuanya akan ditukar kepada digital sepenuhnya, namun keputusan ini belum dibuat, ia akan mengambil tempoh enam bulan hingga setahun sebelum dapat bertukar sepenuhnya kepada digital," katanya lagi.
Malah, setakat ini hanya 30 peratus pemilik kenderaan yang memilih menggunakan cukai jalan secara digital menerusi aplikasi MyJPJ.
Sumber: Astro AWANI